TELOK MAS: Angkatan Tentera Malaysia (ATM) sentiasa bersiap siaga menghadapi serangan siber yang berlaku setiap hari menerusi langkah pemantauan dan pencegahan secara berterusan.
Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, ATM juga akan terus meningkatkan keupayaan pertahanan sibernya bagi memastikan ancaman berkenaan dapat ditangani.
“Kita setiap hari ada serangan siber. Kami sentiasa memantau, mencegah dan memastikan ia dapat ditangani daripada segi ketenteraan. Saya tidak bercakap daripada segi hal lain-lain.
“Kami juga akan meningkatkan keupayaan itu,” katanya selepas program penyerahan projek Program Jiwa Murni Madani Kementerian Pertahanan di sini, hari ini.
Beliau berkata, penubuhan cabang keempat ATM dapat memperkukuh lagi keupayaan menangani ancaman dan peperangan siber.
Katanya, penubuhan cabang berkenaan penting memandangkan peperangan masa kini tidak lagi hanya tertumpu kepada operasi di darat, udara dan laut.
“Atas sebab itulah kami mencadangkan untuk mewujudkan cabang keempat iaitu cabang siber yang lebih mantap dan lebih fokus.
“Sekarang kita ada tentera darat, udara, laut. Perang di darat, perang di udara, perang di laut, lepas ini akan ada perang melalui siber.
“Jadi mesti ada angkatan khusus untuk menangani ancaman dan peperangan melalui siber,” katanya.
Menurutnya, Tim Nukleus bagi merancang penubuhan cabang baharu itu sudah ditubuhkan baru-baru ini.
Beliau berkata, kumpulan berkenaan sedang merancang pelbagai aspek termasuk struktur organisasi, latihan anggota serta keperluan lain bagi merealisasikan penubuhan cabang tersebut.
“Kita sudah tubuhkan nucleus group baru-baru ini. Mereka sedang merancang daripada segi organisasi, daripada segi latihan untuk anggota, daripada segi segala perkara keperluan.
“Insya-Allah ambil masa mungkin paling lambat 2030 untuk kita lancarkan cabang siber angkatan tentera,” katanya.
Mohamed Khaled berkata, ketika ini ATM sudah mempunyai sebuah rejimen siber yang melaksanakan tanggungjawab pertahanan dalam domain berkenaan.
“Sekarang ini ada buat tetapi pertahanan siber ini dibuat melalui rejimen. Rejimen siber, kita ada satu. Tapi kita hendak angkat jadi satu cabang,” katanya. – UTUSAN










