KOTA BHARU: Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM)bersedia melaksanakan pembenihan awan di Kedah bagi menghadapi kemungkinan fenomena Super El Nino yang dijangka boleh menjejaskan sektor makanan negara.
Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu berkata, pihaknya bimbang kerana sumber air di Kedah bergantung sepenuhnya kepada empangan.
“Di Kedah ada tiga empangan antara Pedu. Paras air di Empangan Pedu ketika ini masih berada pada tahap baik, namun keadaan boleh menjadi kritikal sekiranya hujan tidak turun dalam tempoh panjang.
“Kalau hujan tidak turun berturut-turut dalam tempoh lama, kita cuba pembenihan awan. KPKM bersama Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah bersedia bekerjasama melaksanakan pembenihan awan sekiranya keadaan memerlukan,” katanya semasa sidang akhbar pada Rabu ketika ditemui pada Majlis Penyampaian Bantuan Skim Takaful Tanaman Padi dan Ramah Mesra bersama Pesawah Negeri Kelantan di Bendang Belukar di hari ini. Hadir sama Pengerusi Lembaga Kemajuan Pertanian Kemubu (KADA), Khalid Abdul Samad.
Mengulas lanjut, Mohamad memberitahu, sekiranya keadaan bekalan air mencapai tahap kecemasan, keutamaan akan diberikan kepada kegunaan domestik termasuk bekalan air minuman, manakala pengairan sawah mungkin terpaksa ditangguhkan.
“Super El Nino ini kita belum berpengalaman. Sepanjang hidup saya pun tidak pernah lagi berhadapan dengan keadaan seperti ini yang dijangka suhunya boleh mencapai sehingga 40 darjah Celsius.
“Fenomena cuaca ekstrem itu berpotensi memberi kesan kepada sektor pertanian, khususnya penanaman padi, tanaman sayur-sayuran dan aktiviti perikanan pantai,” ujarnya.
Ahli Parlimen Kota Raja berkata, orang ramai tidak perlu panik atau membuat pembelian barangan makanan secara berlebihan kerana bekalan makanan negara ketika ini masih berada dalam keadaan stabil dan mencukupi.
Katanya, kementerian sedang memantau perubahan cuaca dengan kerjasama Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) bagi memastikan persediaan dapat dilakukan lebih awal.
“Kita belum sampai ke tahap seperti di Eropah yang seluruhnya menyediakan makanan. Alhamdulillah, setakat ini kita tidak perlu panik,” katanya.-UTUSAN











