KOTA BHARU: Seorang guru mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini atas dua pertuduhan melakukan amang seksual fizikal terhadap seorang pelajar lelaki berusia 11 tahun, tahun lalu.
Mohd. Faiz Rohizat, 34, yang juga merupakan warden asrama sekolah membuat pengakuan itu selepas kedua-dua pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Zulkifli Abllah.
Mengikut kedua-dua pertuduhan, lelaki itu didakwa melakukan amang seksual fizikal terhadap seorang kanak-kanak lelaki berusia 11 tahun ketika kejadian di dalam sebuah bilik warden asrama di sebuah sekolah di Kuala Krai, dekat sini kira-kira pukul 1 petang pada April 2025 dan 4 petang pada September 2025.
Pertuduhan pertama dikemukakan mengikut Seksyen 14 (b) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 manakala pertuduhan kedua pula di bawah Seksyen 14(d) akta sama dengan kedua-dua seksyen itu memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan sebat, jika disabitkan kesalahan.
Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Syazalia Che Suhaimin manakala tertuduh diwakili peguam, Siti Fathma Nuraimi Mohamad. Terdahulu, Syazalia tidak menawarkan jaminan kerana kesalahan tersebut sangat serius.
Siti Fathma dalam rayuannya memohon ikat jamin dengan alasan tertuduh merupakan penjawat awam selain mempunyai seorang isteri dan seorang anak yang berusia tiga tahun.
“Tertuduh akan hilang pekerjaan dan hilang punca pendapatan sekiranya jaminan tidak dibenarkan sedangkan anak guam saya perlu menyara anak, isteri dan ibu bapa yang uzur. Sebagai penjawat awam, tertuduh tiada risiko untuk melarikan diri memandangkan Mohd. Faiz tinggal di alamat tetap di Bachok,” katanya.
Mahkamah membenarkan jaminan RM10,000 dengan seorang penjamin termasuk syarat tambahan iaitu perlu mengemukakan alamat tempat tinggal tetap, tidak mengganggu saksi pendakwaan dan mangsa.
Mahkamah turut memerintahkan tertuduh melapor diri di balai polis berdekatan dua bulan sekali dan pasport diserahkan kepada mahkamah untuk simpanan sebagai syarat jaminan. Mahkamah menetapkan 23 Disember ini untuk sebutan semula kes dan tertuduh membayar ikat jamin tersebut. – UTUSAN











