KUALA LUMPUR: Pernah menerima kecaman kerana memperagakan busana yang didakwa tidak menepati syariat Islam, pelakon dan penganjur, Islamic Fashion Festival (IFF), Datuk Seri Raja Rezza Shah bersyukur apabila acara itu mampu bertahan sehingga dua dekad.
Menurut Raja Rezza atau lebih dikenali sebagai Shah Rezza, dia tidak pernah menjadikan kecaman itu sebagai penghalang untuk meneruskan perjuangannya dalam mengetengahkan fesyen Islam kepada masyarakat sejak memperkenalkan IFF pada tahun 2006.
“Sejak dahulu lagi, antara cabaran terbesar saya sebagai penganjur IFF ialah kritikan daripada pihak yang merasakan busana yang dipersembahkan tidak sepenuhnya menepati syariat Islam.
“Saya menerima semua kritikan tersebut kerana bagi saya, mereka mungkin tidak memahami perjuangan saya.
“Bukan semua wanita bersedia untuk menutup aurat secara sempurna dalam satu masa. Kesediaan seseorang wanita untuk menutup aurat bergantung kepada tahap keimanan dan kesediaan dirinya sendiri,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Shah Rezza berkata demikian ketika ditemui pada sidang media IFF yang sempena ulang tahun yang ke-20, pada Selasa.
Tambah Shah Rezza, pendekatan yang diterapkan dalam IFF adalah untuk memberikan ruang kepada wanita mengenali dan mendekati konsep pemakaian Muslim secara berperingkat.
“Saya sering menggunakan konsep huruf alif. Alif merupakan antara huruf yang paling mudah ditulis, tetapi ia sangat penting kerana menjadi huruf pertama bagi nama Allah, Adam, Iqra’ dan Islam.
“Jadi, saya percaya sesuatu yang besar dan penting perlu bermula dengan perkara yang mudah. Begitu juga dalam soal menutup aurat.
“Kepada wanita yang sudah bersedia menutup aurat dengan sempurna, itulah rezeki mereka. Bagi yang belum bersedia, mungkin belum sampai lagi rezeki mereka.
“Dalam ibadah solat sekalipun, kita memulakan hari dengan solat Subuh yang hanya mempunyai dua rakaat, bukannya empat. Semuanya bermula dengan perkara yang mudah,” jelasnya.
Dalam pada itu, pelakon itu menyifatkan kemampuan IFF bertahan selama 20 tahun sebagai satu pencapaian yang cukup bermakna, lebih-lebih lagi apabila acara berkenaan terus mendapat sokongan pereka fesyen tempatan dan antarabangsa.
“Bagi saya, apa-apa acara sekalipun perlu mempunyai identiti atau fokus tersendiri. Apabila sesuatu acara mempunyai identiti yang jelas, ia mampu bertahan.
“Saya juga sentiasa peka terhadap perubahan. Walaupun IFF mengetengahkan fesyen Islam, setiap tahun kami memperkenalkan tema berbeza, menukar lokasi penganjuran dan melakukan pelbagai pembaharuan.
“Saya sangat bersyukur kerana sehingga hari ini, IFF masih dapat diteruskan hasil sambutan yang diberikan. Boleh bertahan selama 20 tahun merupakan sesuatu yang sangat saya syukuri,” ujarnya.
Sempena ulang tahun ke-20, IFF mengangkat tema ‘Peranakan The Golden Era’, yang
memberi penghormatan kepada keunikan warisan dan keindahan budaya Peranakan,
sekali gus memperlihatkan bagaimana elemen tradisional mampu diterjemahkan
dalam dunia fesyen moden.











