PETALING JAYA: Seramai 200 keluarga menerima sumbangan bakul makanan bagi membantu meringankan beban perbelanjaan harian, khususnya dalam menyediakan keperluan dapur.
Menerusi Misi Ziarah Kasih itu, Pertubuhan Hardy Malaysia telah menyantuni golongan asnaf, orang kurang upaya (OKU), warga emas dan ibu tunggal di Tuaran, Sabah.
Pengarah Operasi Pertubuhan Hardy Malaysia, Nur Syafiqah Zainal Abidin berkata, bantuan berkenaan disalurkan selepas pihaknya mengambil inisiatif mendekati masyarakat setempat yang memerlukan perhatian dan sokongan.
Menurutnya, penerima terdiri daripada golongan kurang berkemampuan termasuk OKU, warga emas, ibu tunggal serta keluarga yang mempunyai ramai tanggungan.
“Kami memahami setiap keluarga mempunyai ujian dan cabaran kehidupan berbeza. Ada yang berdepan kekangan kewangan, membesarkan anak-anak sendirian serta warga emas dan golongan OKU yang memerlukan sokongan untuk meneruskan kehidupan.
“Walaupun sumbangan bakul makanan ini mungkin tidak seberapa nilainya, kami berharap ia sedikit sebanyak dapat membantu mengurangkan beban perbelanjaan dapur dan memberikan kelegaan kepada keluarga penerima,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Beliau berkata, misi itu bukan sekadar menyampaikan bantuan keperluan asas, sebaliknya menjadi ruang untuk pihaknya mendekati masyarakat dan memahami sendiri kesukaran yang dihadapi golongan berkenaan.
Katanya, pelaksanaan misi itu turut mendapat kerjasama Team Amal Kazuko dan MyFundAction bagi memastikan penyelarasan bantuan berjalan lancar.
Operasi misi berkenaan turut dibantu Kapten (B) Mohd Ammar Afi Lokman selaku Timbalan Pengarah Program.
Majlis perasmian disempurnakan Pengerusi Federal Power Sdn Bhd, Datuk Seri Hisham Abdul Wahab, manakala Komander Team Amal Kazuko, Datin Seri Intan Abdul Hamid turut bersama menyantuni penduduk.
Misi berkenaan turut mendapat sokongan kepimpinan Pertubuhan Hardy Negeri Sabah diketuai Nur Jamaliyah Mohd Jamaluddin serta pasukan logistik negeri itu.
Dalam pada itu, Nur Syafiqah merakamkan penghargaan kepada Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP), Federal Power Sdn Bhd, APZG dan Mohd Chan Restaurant atas sumbangan serta sokongan menjayakan program berkenaan.
“Semoga setiap bakul makanan yang disampaikan membawa sedikit kegembiraan kepada keluarga penerima dan menjadi tanda bahawa mereka tidak dilupakan.
“Kami mungkin tidak mampu mengubah keseluruhan kehidupan mereka, namun berharap sumbangan kecil ini dapat memberikan kelegaan serta menyuntik semangat untuk mereka terus menghadapi kehidupan,” katanya.-UTUSAN











