MELAKA: Penyokong Parti Amanah Negara (Amanah) dan Pakatan Harapan (PH) di Melaka bersedia memberikan sokongan kepada calon Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) di kerusi yang tidak ditandingi gabungan itu pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka.
Setiausaha Amanah Melaka, Kapten (B) Mohamad Jaafar berkata, perkara itu mencerminkan persefahaman untuk saling membantu antara PH dan Bersatu meskipun parti berkenaan bukan sebahagian daripada gabungan PH.
Beliau yang juga calon PH bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Telok Mas berkata, sokongan itu turut melibatkan komitmen Bersatu untuk membantu calon PH di kawasan yang ditandingi gabungan berkenaan.
“Bersatu di Selangor dan Melaka mungkin berbeza. Bersatu ini salah satu lagi parti yang akan bersama PH tetapi bukan dalam gabungan PH, sebaliknya saling menyokong antara satu sama lain.
“Kalau Amanah tidak bertanding di sesuatu kawasan, orang Amanah dan PH akan menyokong Bersatu. Begitu juga Bersatu menjanjikan mereka akan membantu PH,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Mengulas lanjut, Mohamad berkata, beliau sendiri sudah bertemu beberapa penyokong Bersatu yang menyatakan kesediaan memberikan sokongan kepadanya di DUN Telok Mas.
“Contohnya di Telok Mas, saya sudah berjumpa beberapa orang Bersatu yang menyatakan sokongan kepada saya,” katanya.
Dalam perkembangan berkaitan, Mohamad turut mengkritik pendekatan kerajaan negeri yang didakwa lebih memberi tumpuan kepada penganjuran program hiburan berbanding memperluas pendidikan dan penghayatan agama dalam kalangan golongan muda.
Katanya, pendedahan kepada pendidikan agama perlu dipertingkatkan bagi membentuk jati diri golongan Generasi Z (Gen Z), sekali gus mempersiapkan mereka sebagai pemimpin pada masa depan.
Beliau berkata, keadaan itu berbeza dengan Kelantan yang mempunyai lebih banyak institusi pendidikan agama seperti sekolah pondok, sekali gus memberikan pendedahan lebih meluas kepada golongan muda.
“Saya tengok golongan Gen Z ini pendekatan ke arah Islamik itu kurang. Contohnya, Kelantan dan Melaka berbeza. Kelantan ada pondok dan sekolah agama.
“Jadi pertumbuhan mereka, pendedahan mereka kepada arah keagamaan tu sangat baik. Tapi di Melaka kita kurang sekolah pondok, sekolah agama dan sebagainya. Jadi mereka ni lebih kepada hiburan.
“Saya tengok kerajaan negeri Melaka ini banyak kepada hiburan. Saya tengok apabila Datuk Rauf buat program, berjoget sana, berjoget sini, menghabiskan duit rakyat. Memang banyak ke arah itu,” katanya
Sehubungan itu, beliau berkata, pendekatan lebih menyeluruh perlu dilaksanakan bagi mendekati golongan muda, khususnya di kawasan Telok Mas, menerusi peluang pembelajaran agama dan aktiviti dakwah.-UTUSAN.











