Pemansuhan hukuman gantung bukan punca peningkatan penyeludupan dadah 

Pemansuhan hukuman gantung bukan punca peningkatan penyeludupan dadah 

ANWAR IBRAHIM
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Peningkatan kegiatan penyeludupan dadah dalam kuantiti besar belum dapat dikaitkan secara langsung dengan pemansuhan hukuman gantung mandatori bagi kesalahan berkaitan dadah.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, kelemahan kawalan di sempadan negara termasuk laluan darat, laut dan udara turut menjadi antara faktor yang perlu diberi perhatian.

“Apakah kerana kita kurang hukuman gantung, menidakkan hukuman gantung? Belum dapat dipastikan kerana sebenarnya sempadan kita agak bolos di laluan laut dan darat, malah sekarang ini di udara.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Sebab itu kita memperkukuh agensi Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan (AKPS) sebab kita tahu penyeludupan itu berskala besar,” katanya ketika Sesi Pertanyaan Perdana Menteri (PMQT) di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau menjawab soalan tambahan Hassan Abdul Karim (PH-Pasir Gudang) mengenai kemungkinan pemansuhan hukuman gantung bagi kesalahan di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 menjadi punca penyeludup semakin berani membawa masuk dadah dalam kuantiti besar kerana tidak lagi gentar terhadap hukuman berkenaan.

Anwar berkata, kerajaan turut meningkatkan peruntukan AKPS daripada RM37 juta tahun ini kepada RM490 juta bagi 2027 sebagai langkah memperkukuh  kawalan di pintu masuk negara.

Dalam pada itu, beliau menegaskan usaha membanteras jenayah narkotik perlu dilaksanakan dengan lebih tegas dan menyeluruh memandangkan masalah dadah sudah lama membelenggu masyarakat termasuk di kawasan kampung.

Katanya, tindakan penguatkuasaan yang dijalankan setakat ini membawa kepada penahanan ramai individu termasuk penagih, pengedar dan mereka yang dipercayai terlibat dalam penyeludupan dadah.

Beliau turut memuji tindakan proaktif Polis Diraja Malaysia (PDRM) khususnya Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) dan Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) dalam mengambil tindakan terhadap kumpulan haram serta sindiket jenayah rentas sempadan tanpa memilih bulu.

Menurutnya, tindakan penguatkuasaan turut memberi tumpuan kepada kegiatan pengedaran dadah dan perjudian dalam talian yang melibatkan beberapa kumpulan jenayah.

Sementara itu, mengenai pengisian jawatan AKPS, Anwar berkata, proses penyerapan pegawai penguat kuasa daripada agensi berkaitan dilaksanakan secara telus berdasarkan skim tawaran Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) tanpa sebarang paksaan.

Katanya, tawaran berkenaan sudah dikemukakan kepada pegawai Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM), Jabatan Imigresen Malaysia (JIM), Kementerian Kesihatan, Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (MAQIS) serta PDRM.

“Sebahagian besar telah menerimanya dan ada juga tidak mahu terima tetapi skim itu adalah skim kerajaan sedia ada,” katanya. -UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini