JERANTUT: Pihak berwajib digesa terus memulihara dan menjaga kawasan koridor gajah sedia ada di Ulu Tembeling di sini, bagi mengawal pergerakan gajah daripada merayau ke kawasan lain di samping menyelesaikan isu konflik antara manusia dan haiwan itu yang berlarutan sejak 20 tahun lalu.
Konflik berkenaan mula berlanjutan sejak kawasan hutan di Ulu Tembeling dibuka bagi aktiviti pembalakan dan pembangunan ladang. Keadaan ini menyebabkan kawanan mamalia darat terbesar itu menceroboh kawasan kampung serta merosakkan tanaman penduduk di pesisir Sungai Tembeling.
Penduduk Kampung Pagi, Mi Hamidi Nipah, 58, berkata, dianggarkan kira-kira 30 hingga 40 ekor gajah berkeliaran di kawasan koridor gajah seluas 80 hektar dari Hentian Rehat Bukit Awan hingga ke Kampung Kuala Sat, di sini.
Justeru katanya, pemuliharaan kawasan koridor sedia ada sangat penting bagi menjamin bekalan makanan dan keselesaan haiwan tersebut supaya tidak diganggu hingga keluar ke kawasan pemukiman lain.
“Langkah kerajaan negeri membuka kawasan koridor gajah begitu dihargai. Fokus utama sekarang adalah memastikan kawasan ini dipulihara dan dijaga dengan rapi oleh semua pihak supaya kawanan gajah ini kekal berada di lingkungan koridor tersebut dan tidak merayau ke tempat lain,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Mi Hamidi berkata, penjagaan koridor sedia ada itu bukan sahaja penting untuk kelestarian ekosistem dan mengelakkan ancaman kepupusan, malah memberikan kestabilan kepada penduduk setempat yang sering bimbang dengan gangguan haiwan berkenaan.
“Selain itu, keberkesanan pemeliharaan koridor gajah ini mampu memberi nilai tambah kepada sektor ekopelancongan tempatan sekali gus menjadi tarikan baharu bagi pelawat yang singgah di Hentian Rehat Bukit Awan serta pusat pelancongan kampung tradisional Melayu di Kampung Kuala Sat,” katanya.
Penduduk Kampung Samas, Zulkefli Jamaludin, 61, pula berkata, walaupun sudah mempunyai kawasan ‘rayau’, kawanan gajah masih kerap memasuki kawasan penempatan.
“Ini kerana kawasan kampung lebih banyak tanaman seperti pisang, jagung, tebu dan tumbuhan lain yang menjadi sumber makanan haiwan liar ini. Penduduk berdepan risiko kerugian apabila pencerobohan kawanan gajah liar mengakibatkan kemusnahan benih pokok getah dan sawit sehingga menanggung beban untuk tanam semula,” katanya.
Semalam, akhbar ini melaporkan bahawa, gajah Malaysia masih tidak terjaga dan perlu diberikan keutamaan kerana kelemahan membabitkan penyelidikan saintifik serta gangguan habitat semakin menekan kelangsungan hidup spesies ikonik negara tersebut.
Presiden Persatuan Ekologi Malaysia (PEM), Profesor Dr. Ahmad Ismail dilaporkan berkata, usaha pemuliharaan gajah tidak boleh lagi dianggap isu sampingan kerana ia melibatkan khazanah alam yang menjadi simbol identiti negara. – UTUSAN











