KUALA LUMPUR: Isu saman sivil berkaitan kes penipuan umrah yang melibatkan syarikat Rehla Travel Services Sdn. Bhd. (Rehla) telah dipolitikkan walaupun perniagaan itu tiada hubungan dengan mana-mana parti politik.
Ketua UMNO Bahagian Kangar, Datuk Dr. Fathul Bari Mat Jahya berkata, perniagaan miliknya itu tiada kaitan dengan politik dan syarikat tersebut juga tidak menerima sebarang arahan atau projek daripada mana-mana parti.
“Ini perniagaan saya dan rakan-rakan. Namun nama saya terus dikaitkan dengan parti saya, walaupun tiada kaitan langsung.
“Saya juga ambil tanggungjawab atas kapasiti sendiri,” katanya pada sidang media di sini, hari ini.
Beliau berkata, tuntutan terhadap Malaysia Airlines Berhad dan anak syarikatnya, Hijrah Biru Sdn Bhd yang difailkan hari ini bukan sekadar bertujuan mendapatkan semula wang tetapi juga untuk memulihkan nama baiknya.
Menurutnya, beliau hanya pemegang saham minoriti yang menerima saham percuma kerana jaringan perniagaan di Arab Saudi manakala urusan tiket dikendalikan pihak pengurusan dan wang deposit dikeluarkan oleh seorang pengarah lain.
“Saya diburukkan dengan tuduhan tidak amanah, mengambil dan mencuri wang orang. Saya kena bersihkan dan cuci nama saya,” katanya.
Dalam pada itu, beliau berkata suasana politik semasa menyebabkan sesetengah pihak mudah terpengaruh dengan dakwaan yang tersebar.
Jelasnya, kenyataan yang dikeluarkan daripada prosiding mahkamah sebelum ini juga telah disalah ertikan oleh orang awam tanpa mengetahui perihal sebenar.
“Ini antara perkara yang akan kami utarakan ke hadapan supaya diperbetulkan dan orang ramai mendapat maklumat yang tepat,” katanya.
Mengulas lanjut mengenai dakwaan menyeleweng wang, beliau berkata, syarikatnya tiada niat menipu atau mengambil kesempatan terhadap sesiapa.
Katanya, isu korporat yang sepatutnya diselesaikan secara profesional di meja rundingan atau mahkamah sering kali dijadikan modal politik untuk menghukum kredibiliti peribadinya tanpa memahami situasi sebenar
“Kalau saya mencuri, mereka sudah buat laporan polis. Kami bukan tidak mahu bayar, kami cuma minta keadilan.
“Selama ini saya memilih berdiam diri dan hanya mengeluarkan satu kenyataan umum di Facebook.
“Atas nasihat peguam dan susulan fitnah yang tersebar, saya rasa kini masa yang sesuai untuk memfailkan tuntutan untuk membersihkan kembali nama saya,” katanya. – UTUSAN











