Zahirah Macwilson mohon maaf, tidak berniat sakiti penganut Kristian - Utusan Malaysia

Zahirah Macwilson mohon maaf, tidak berniat sakiti penganut Kristian

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Memuatkan artikel berkaitan…
KUALA LUMPUR: Pelakon, Zahirah Macwilson tampil membuat permohonan maaf susulan kenyataannya yang menghina perayaan Krismas dan Easter di Instagram Story baru-baru ini.
Dalam video panjang lebar yang dimuat naik di Instagram petang tadi, Zahirah berkata dia tidak berniat untuk merendah-rendahkan perayaan agama lain justeru memohon maaf atas ketelanjuran kata.
“Saya ingin memohon maaf berkenaan perkongsian mengenai perayaan krismas dan Easter saya baru-baru ini.
“Permohonan ini ditujukan kepada penganut agama Kristian yang terasa hati dengan apa yang diperkatakan dalam perkongsian berkenaan.
“Saya segera menurunkan perkongsian berkenaan beberapa minit selepas memuat naik di Instagram setelah mengetahui ia telah menyakiti hati penganut agama kristian. Saya tidak berniat untuk mengeruhkan keadaan,” katanya panjang lebar.
Isteri kepada pelakon dan penyanyi Aiman Hakim Ridza itu menambah dia amat menghormati kepelbagaian agama dan bangsa di negara ini dan tidak bermaksud untuk meletakkan label kepada mana-mana perayaan.
“Saya tidak bermaksud untuk melabelkan perayaan Krismas dan Eater itu sebagai pemujaan syaitan.
“Saya benar-benar menghormati kepelbagaian bangsa dan agama yang ada terdapat di negara ini. Kenyataan saya adalah tidak tepat, pembohongan budaya dan bersifat tidak sensitif,” katanya lagi.
Zahirah dalam pada itu sedia bertanggungjawab hasil kekecohan susulan kenyataannya beberapa hari lepas.
“Sebagai figura awam, saya sepatutnya berhati-hati sebelum melontarkan pandangan terutama sekali memabitkan tradisi dan agama lain.
“Dan kerana itu, saya memikul sepenuh tanggungjawab terhadap tindakan saya, dan saya dengan rendah diri memohon maaf atas keterlanjuran kata.
“Saya komited untuk mendengar dan belajar agar saya dapat menjadi manusia yang lebih baik.
“Dan terima kasih kepada yang menghantar mesej, negatif atau positif. Saya mengakui kesalahan dan ini adalah pengajaran terbesar buat saya,” kongsinya.
Baru-baru ini, Zahirah dihujani kecaman pengguna media sosial gara-gara kenyataannya yang antara lain melabelkan perayaan krismas dan Easter sebagai pemujaan syaitan.-UTUSAN
Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini