Effendi Azmi Hashim kini Pengarah Urusan Equinix Malaysia

Effendi Azmi Hashim kini Pengarah Urusan Equinix Malaysia

EFFENDI AZMI HASHIM
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Syarikat infrastruktur digital global, Equinix Inc. (Equinix) melantik Effendi Azmi Hashim sebagai Pengarah Urusan bagi operasinya di Malaysia berkuat kuasa serta-merta.

Menerusi peranan baharu berpusat di Kuala Lumpur itu, beliau akan memimpin strategi, pertumbuhan pelanggan serta operasi perniagaan Equinix di Malaysia dalam mendepani fasa pertumbuhan seterusnya.

Langkah itu dilaksanakan seiring peningkatan permintaan terhadap kecerdasan buatan (AI), awan dan infrastruktur digital terhubung di peringkat domestik serta serantau.

Memuatkan artikel berkaitan…

Naib Presiden Pertumbuhan dan Pasaran Membangun Asia-Pasifik Equinix, Max Parry berkata, kepimpinan dan keupayaan Effendi dalam memimpin perniagaan teknologi berprestasi tinggi amat bernilai bagi syarikat.

“Pengalaman mendalam beliau dalam pasaran Malaysia akan membantu pelanggan memanfaatkan peluang baharu merentasi segmen AI, awan dan transformasi digital.

“Kami juga mengucapkan penghargaan setinggi-tingginya kepada Tat Inn atas perkhidmatan dan kepimpinan beliau yang membina asas kukuh di Malaysia,” katanya dalam kenyataan. 

Effendi menggantikan Cheam Tat Inn yang bersara daripada kepimpinan operasi selepas memainkan peranan penting memperkukuh kehadiran serta pertumbuhan Equinix di pasaran tempatan.

Beliau membawa pengalaman selama 25 tahun dalam bidang perundingan perniagaan, teknologi dan kepimpinan komersial merentasi sektor perbankan, utiliti serta minyak dan gas.

Sebelum menyertai Equinix, Effendi berkhidmat sebagai Pengarah Urusan Malaysia dan Indonesia di Kyndryl, selain pernah memegang jawatan kepimpinan senior di Cognizant, Mesiniaga Berhad, IPERINTIS Sdn. Bhd. dan Accenture.

Sementara itu, Effendi berkata, beliau berbesar hati menyertai Equinix ketika ekonomi digital Malaysia sedang pesat berkembang.

“Equinix berada pada kedudukan strategik untuk membantu pelanggan berhubung dengan rakan kongsi, ekosistem dan platform yang diperlukan bagi memperluas keupayaan digital mereka.

“Saya berhasrat meneruskan asas kukuh yang telah dibina dan memimpin fasa pertumbuhan seterusnya apabila permintaan terhadap infrastruktur digital terus memecut,” katanya.

Beliau yang berkelulusan ijazah sarjana dalam Undang-Undang Korporat Antarabangsa dan Perbandingan dari London Metropolitan University juga merupakan penerima anugerah Pengurus Terbaik daripada Institut Pengurusan Malaysia (MIM).

Setakat ini, Equinix komited dengan pelaburan melebihi AS$700 juta (kira-kira RM3 bilion) di Malaysia merangkumi fasiliti di Johor dan Kuala Lumpur, dengan penambahan lebih 5,800 kabinet kapasiti sehingga tahun 2028. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini