KUALA LUMPUR: Penyanyi dan Ratu Irama Tradisional tanah air, Noraniza Idris, sanggup mengeluarkan wang sendiri demi memastikan seni zapin terus dipelihara dan diwarisi generasi muda, meskipun berdepan cabaran mendapatkan penajaan.
Menurut Noraniza, penglibatannya dalam Festival Akar Kita Zapin peringkat Kebangsaan bukan berasaskan keuntungan, sebaliknya sebagai usaha mendekatkan pewaris seni tradisional dengan generasi pelapis.
Menerusi penganjuran musim keenam dengan kerjasama AEON CO. (M) Berhad, program itu menghimpunkan 1,550 peserta menerusi siri jelajah di beberapa lokasi, dengan 300 peserta dinilai untuk pertandingan Tingkah Laga Zapin.
“Program ini memang 100 peratus berasaskan penajaan. AEON menyediakan ruang, tempat dan kemudahan untuk kita melaksanakannya. Ini bukan program yang dibuat dengan tujuan mendapatkan keuntungan, sebaliknya usaha amal budaya sepenuhnya. Saya sendiri tidak dibayar untuk program ini.
“Kalau ada lebihan daripada usaha mencari penajaan, barulah itu menjadi rezeki saya. Ada juga penaja yang menarik diri pada saat akhir dan dalam keadaan tertentu, saya terpaksa mengeluarkan duit sendiri. Memang sangat mencabar untuk menggerakkan program seperti ini,” katanya.
Jelas Noraniza, festival berkenaan bukan sekadar pertandingan tarian, sebaliknya platform pendidikan budaya yang menerapkan nilai disiplin, tertib dan kerjasama dalam kalangan peserta.
Menerusi program itu, tujuh jenis zapin diperkenalkan dengan bimbingan lapan pewaris yang mewarisi seni berusia lebih 100 tahun.
“Melalui zapin, mereka bukan sahaja belajar menari, tetapi turut dididik mengenai tertib, disiplin, kerja berkumpulan dan cara menyantuni lawan dengan baik. Semua nilai ini diterapkan sepanjang bengkel, daripada peserta yang bermula tanpa pengetahuan asas hinggalah mereka yang sudah profesional.
“Sekarang, ramai yang belajar melalui TikTok dan media sosial, tetapi tidak semuanya tepat. Sebab itu, apabila kita membuka platform kerjasama dengan AEON, semua orang berpeluang belajar secara percuma tanpa dikenakan bayaran. Kita mahu mendekatkan pewaris dengan generasi pelapis supaya ilmu zapin terus diwarisi,” katanya.
Lebih menarik, penganjuran musim keenam menyaksikan penyertaan kanak-kanak berusia tujuh hingga 12 tahun dibuka buat pertama kali bagi memberi pendedahan awal kepada pertandingan Tingkah Laga Zapin.
Menurut Noraniza, pertandingan itu memerlukan peserta menguasai ragam zapin dan membalas gerak tari lawan secara spontan, sekali gus menuntut ilmu yang lebih mendalam berbanding sekadar menghafal langkah tarian.
Beliau turut berhasrat memperluas pendedahan kepada zapin dari seluruh negara, termasuk Sabah, Sarawak dan Kedah, agar seni berkenaan tidak hanya dikaitkan dengan Johor.
“Orang selalu menganggap zapin hanya popular di Johor, sedangkan negeri lain turut mempunyai zapin masing-masing. Selepas ini, saya mungkin tidak mahu mengehadkan pendedahan kepada zapin Johor sahaja. Kita boleh mengetengahkan zapin seluruh Malaysia sebagai ilmu baharu kepada generasi pelapis supaya mereka mengenali kepelbagaian warisan yang dimiliki negara,” katanya.
Selain itu, festival berkenaan turut menyokong kempen Save Irama Malaysia bagi mendekatkan generasi muda dengan lagu, bahasa dan tarian tradisional.
Noraniza berkata, usaha itu selari dengan hasrat memelihara warisan negara, termasuk menyokong usaha mengangkat zapin ke peringkat UNESCO.
Mengakui penganjuran program memerlukan komitmen besar, beliau berkata peruntukan hadiah wang tunai dan trofi yang melebihi RM50,000 antara cabaran utama, selain kesukaran mendapatkan penaja secara konsisten.
Bagaimanapun, sokongan penggiat seni, ibu bapa peserta, Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya serta Kementerian Pendidikan membantu memastikan program itu terus berjalan.
“Memang sukar mencari pasukan yang sanggup bekerja apabila mereka tahu program ini tidak menjanjikan keuntungan. Namun, saya bersyukur kerana sudah melakukan kerja ini sejak 2010 dan dapat mengenali pasukan yang setia bersama hingga sekarang.
“Apabila kita memberikan ruang yang mengangkat prestij budaya, peserta akan merasakan seni yang dibawa itu dihargai. Mereka diberikan pentas sewajarnya untuk menunjukkan bakat dan kebolehan masing-masing. Bagi saya, nilai itu sangat tinggi kerana kita sedang membina keyakinan generasi muda terhadap seni warisan sendiri,” katanya.
Bagi Noraniza, kepuasan sebenar bukan terletak pada keuntungan, sebaliknya apabila seni zapin terus hidup, dihargai dan menjadi kebanggaan generasi akan datang.











