SIC bakal turap semula litar

SIC bakal turap semula litar

AKSI pelumba pasukan Lenovo Racing Team, Marc Marquez yang mengekalkan kedudukan tempat pertama semasa perlumbaan Petronas Grand Prix of Malaysia 2026 (MotoGP) di Litar Antarabangsa Sepang GAMBAR - AMIR KHALID
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEPANG: Litar Antarabangsa Sepang (SIC) bakal menurap semula permukaan litar susulan rungutan pelumba terhadap kualiti asfalt yang didakwa terlalu kasar, berbatu dan kurang selamat pada Grand Prix (GP) Motosikal Malaysia, hujung minggu lalu.

Ketua Pegawai Eksekutif SIC, Azhan Shafriman Hanif berkata, kalau diimbas kembali pada awal tahun ini, masa SIC menutup litar, memang hasrat asal adalah untuk membuat penurapan semula, tetapi, disebabkan konflik Asia Barat perancangan itu ditunda.

“Konflik di Asia Barat menyebabkan kita sukar mendapatkan bekalan agregat tertentu seperti kos membeli bitumen yang menjadi sangat mahal dan logistik juga rumit.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Oleh itu, kita beralih kepada kaedah lain iaitu pengisaran (milling). Berdasarkan laporan penuh daripada FIM (Persekutuan Motosikal Antarabangsa) nanti, ada kemungkinan kita perlu menutup litar untuk melakukan penurapan semula pada masa akan datang,” katanya kepada pemberita selepas GP Malaysia berakhir, kelmarin.

Menurut beliau, pihaknya akan meneliti sama ada kerja-kerja penurapan semula itu hanya melibatkan selekoh-selekoh tertentu seperti di selekoh tujuh hingga 12 yang dilaporkan pelumba atau dilaksanakan secara menyeluruh.

Jelasnya, tempoh penutupan untuk penurapan pula bergantung kepada kawasan terlibat kerana semakin panjang jarak, maka, jangka waktunya lebih lama.

“Kita juga perlu melihat kalendar tahun hadapan kerana tempahan litar sudah ada bagi bulan Disember dan Januari. Permintaan daripada MotoGP dan FIM adalah untuk menyiapkannya sebelum sesi ujian rasmi. Sama ada dibuat sebelum atau selepas ujian, perkara itu akan dimuktamadkan kemudian,” ujarnya.

Ketika ditanya mengenai kos, Azhan Shafriman memberitahu, dari segi bajet, sememangnya ia akan bertambah kerana penurapan litar bukan kerja mudah dan ia melibatkan bekalan bahan serta jadual litar sebelum membuat keputusan muktamad.

“Ia mencecah jutaan ringgit. Saya belum ada angka tepat kerana ia bergantung kepada sama ada penurapan separa atau penuh, serta harga semasa bitumen. Bitumen litar perlumbaan bukan bitumen biasa, ia gred khas dengan campuran khusus. Jadi kosnya tidak murah, lebih-lebih lagi dengan ketidaktentuan global dan kenaikan harga bahan ketika ini,” tegasnya.

Sementara itu, mengulas pula mengenai kehadiran penonton pada GP Malaysia, beliau berkata, SIC berjaya menarik hampir 196,000 penonton dan jumlah itu, walaupun tidak mencapai sasaran awal sebanyak 200,000, ia masih satu pencapaian yang baik.

“Dari segi keseluruhannya, kita nampak pengunjung-pengunjung yang datang penuh di ‘grandstand’ pada tahun ini. Kita boleh tengok K1, F, dan ‘Main Grandstand’ semua penuh,” katanya.-UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini