Gema Bumantara bukan medan persaingan - Utusan Malaysia

 Gema Bumantara bukan medan persaingan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Bukan untuk menandingi sesiapa, jauh sekali mencetuskan persaingan, sebaliknya mahu membuktikan irama tradisional mampu berdiri megah di pentas berskala besar.

Itu penegasan Biduanita Negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza mengenai penganjuran konsert Gema Bumantara yang disifatkan sebagai manifestasi tanggungjawabnya dalam memartabatkan muzik tradisional, bukan medan untuk berlumba-lumba mencipta pencapaian dengan mana-mana pihak.

Menurut Siti, konsert berkenaan merupakan usahanya untuk memberikan persembahan terbaik berdasarkan kemampuan yang dimiliki ketika ini, selain memperlihatkan potensi irama tradisional untuk terus berkembang dan mendapat tempat dalam industri muzik tanah air.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Saya buat atas tanggungjawab kepada irama tradisional. Saya nak tunjukkan kalau kita nak buat tradisional, ini yang saya berikan, yang terbaik dengan kemampuan saya ketika ini. Kalau ada tajaan lebih besar, kita boleh buat lagi hebat!” katanya.

Mengimbas pengalaman menjayakan konsert berkenaan, Siti berkata, antara detik paling menyentuh perasaannya ialah apabila penonton tetap bertahan di lokasi meskipun berdepan hujan lebat.

Kesetiaan penonton itu bukan sahaja meninggalkan kenangan yang sukar dilupakan, malah menguatkan keyakinannya bahawa irama tradisional mempunyai tarikan tersendiri apabila dipersembahkan dengan pendekatan yang tepat.

“Saya sebak bila tengok balik sedutan-sedutan yang peminat rakam dan muat naik di Threads, Instagram, TikTok. Rasa macam mimpi jadi kenyataan. 

“Ia bukan tentang Siti Nurhaliza seorang, tapi tentang semua yang buat persembahan malam tu dan satu kemegahan untuk industri muzik tanah air, khususnya irama tradisional. Terima kasih semua yang tak berganjak dan tak tinggalkan saya,” katanya.

Menyentuh kemungkinan menganjurkan konsert lebih besar pada tahun depan, Siti berkata, beliau terbuka terhadap peluang berkenaan sekiranya mendapat sokongan dan tawaran yang bersesuaian.

Bagaimanapun, katanya, setiap perancangan perlu diteliti terlebih dahulu, terutama dalam memastikan persembahan seterusnya mempunyai pembaharuan serta membawa nilai tersendiri dalam usaha mengangkat muzik tradisional.

“Macam saya cakap, saya memilih Gema Bumantara konsert tradisional terbesar ni kerana itu adalah hasrat saya. Dan memang daripada awal semasa nak jual tiket pun saya kata saya buat sebab saya tak tahu saya boleh buat lagi besar macam ini atau tidak. Itu adalah dalam fikiran saya.

“Tetapi kalau ada mata yang terbuka, ada juga badan-badan yang berminat untuk memberi saya peluang untuk buat lebih bagus dan lebih besar lagi, itu saya kira rezeki untuk team pasukan yang terlibat bersama dengan saya. 

“Cuma buat masa ini, permintaan untuk konsert Gema Bumantara 2.0 memang ada,tetapi saya perlukan masa dan perancangan yang teliti kalau nak buat lebih besar lagi, ataupun mungkin sama tapi harus ada pembaharuan serta nilai-nilai yang perlu saya angkat dalam muzik tradisional. Jadi saya perlu masa untuk itu,” katanya.

Ditanya mengenai peluang membawa konsert itu ke luar negara, Siti berkata, setakat ini permintaan untuk mengulanginya di dalam negara lebih ketara, selain mengambil kira kos besar yang diperlukan bagi membawa keseluruhan pasukan produksi ke luar negara.

Bagaimanapun, beliau mengesahkan menerima undangan untuk mengadakan persembahan di Stadium tertutup Singapura dengan perbincangan mengenai konsep persembahan masih berjalan.

“Selepas Gema Bumantara, mereka bertanya pada sayalah pada tarikh yang mereka nak tu untuk buat persembahan di sana. Saya tengah fikir apa yang patut saya bawa, tapi saya rasa tradisional saya akan bawa sebab luar biasa dia punya sambutan itu bukan,” katanya.

Siti berkata, tahun depan mungkin menjadi tempoh yang lebih sesuai untuk mempertimbangkan penganjuran konsert berskala besar yang lain memandangkan jadual tahun ini semakin terhad.

DOKUMENTARI KONSERT DI PAWAGAM

Dalam pada itu, Siti turut menyimpan hasrat untuk mengabadikan perjalanan konsert Legasi 30 dan Gema Bumantara menerusi tayangan dokumentari yang berpotensi dipertontonkan di pawagam.

Menurutnya, rakaman Legasi 30 sudah selesai disunting dan kini dalam perbincangan dengan pihak berkaitan, manakala proses suntingan Gema Bumantara masih belum dimulakan.

“Saya memang ada hasrat. Kalau boleh, nak tayangan dokumentari tentang konsert di pawagam. Tapi saya kena fikirkan banyak perkara juga. Kalau tak dapat pawagam, kita pergi Netflix lah.

“Sebab Legasi 30 kita dah siap sunting dah, tengah berbincang dengan pihak yang terbabit. Gema Bumantara belum lagi sunting. Tak tahu sama ada nak gabung ataupun asing-asing,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini