Cadangan kaji semula gaji doktor kanan dipertimbang

Cadangan kaji semula gaji doktor kanan dipertimbang

DZULKEFLY AHMAD - Jabatan Penerangan Malaysia
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Cadangan mengkaji semula gaji dan imbuhan doktor kanan bagi menangani masalah kekosongan 750 jawatan di Sabah dan Sarawak diberi pertimbangan.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad berkata, kebajikan petugas kesihatan di bawah Kementerian Kesihatan (KKM) sentiasa menjadi antara perkara yang diberikan perhatian beliau.

“Isu kebajikan kakitangan KKM sememangnya sentiasa menjadi perhatian saya. Saya sentiasa memberikan perhatian kepada perkara yang berkaitan dengan kebajikan petugas kesihatan di bawah kementerian.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Sehubungan itu, saya berpandangan bahawa cadangan dan permohonan yang dikemukakan berhubung perkara tersebut wajar diberikan pertimbangan,” katanya ketika sesi soal jawab lisan di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau menjawab soalan tambahan Ramkarpal Singh (PH-Bukit Gelugor) mengenai cadangan Hartal Doktor Kontrak dan Yayasan AbiMedik supaya gaji serta imbuhan doktor kanan dikaji semula bagi mengisi 750 jawatan di Sabah dan Sarawak.

Sebelum ini, Hartal Doktor Kontrak mencadangkan supaya pegawai perubatan berpengalaman ditawarkan jawatan sekurang-kurangnya Gred UD12 berserta penyelarasan gaji dan insentif yang munasabah berbanding Gred UD10 yang ditawarkan ketika ini.

Yayasan AbiMedik pula berpandangan tawaran gred permulaan tidak mengambil kira pengalaman pegawai perubatan yang telah lama berkhidmat, selain mencadangkan pakej lebih menarik termasuk penambahbaikan elaun wilayah bagi menggalakkan penempatan di Sabah dan Sarawak.

Pada 29 Oktober lalu, KKM mengumumkan pengambilan khas bagi mengisi 750 jawatan tetap Pegawai Perubatan Gred UD10 di kedua-dua negeri berkenaan dengan permohonan dibuka mulai 9 hingga 15 November ini.

Pengambilan itu turut terbuka kepada pegawai perubatan lantikan kontrak yang telah tamat perkhidmatan manakala calon berjaya dicadangkan melapor diri pada 15 Februari 2027.

Semalam, Utusan Malaysia melaporkan Persatuan Perubatan Malaysia (MMA) menggesa KKM menyediakan pakej pekerjaan lebih berdaya saing termasuk penambahbaikan Bayaran Insentif Wilayah (BIW), elaun kesukaran serta bantuan perpindahan bagi menarik dan mengekalkan doktor di Sabah dan Sarawak.

Menurut MMA, tawaran pelantikan tetap sahaja tidak mencukupi sekiranya kekangan berkaitan kewangan, keluarga dan perkembangan kerjaya yang mempengaruhi keputusan doktor untuk berkhidmat di kedua-dua negeri itu tidak ditangani. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini