MOSCOW: Russia berkata bahawa aplikasi amaran kecemasannya menjadi sasaran serangan siber besar-besaran pada Isnin, beberapa jam selepas Ukraine melaporkan sistemnya digodam, dalam insiden saling berbalas serangan siber antara kedua-dua negara ketika gencatan senjata paling lama sejak perang tercetus berakhir.
Kementerian Kecemasan Russia berkata, penggodam menyebarkan maklumat palsu menerusi aplikasi itu yang direka untuk memberi amaran kepada orang ramai mengenai ancaman serangan dron dan ancaman lain.
Beberapa jam sebelum itu, Ukraine berkata, pihaknya mengesyaki sistem amaran serangan udara negara itu telah diceroboh selepas amaran tidak berasas mengenai ancaman radiasi muncul dalam aplikasi berkenaan.
Serangan siber itu berlaku ketika gencatan senjata paling lama sejak perang tercetus, yang terhad kepada wilayah Kherson di timur Ukraine, berakhir pada Ahad selepas Russia menolak tawaran untuk melanjutkannya, menurut Kyiv.
Moscow tidak segera mendedahkan pihak yang bertanggungjawab terhadap serangan ke atas aplikasinya, manakala Pusat Komunikasi Strategik Ukraine (SPRAVDI) menyalahkan Russia atas penggodaman yang dialami negara itu.
Pemberhentian pertempuran yang jarang berlaku itu adalah hasil rundingan Melania iaitu Isteri Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump dan bermula 27 Oktober membolehkan misi kemanusiaan dilaksanakan ke bandar Oleshky yang diduduki Russia ketika perang memasuki tahun kelima.
“Gencatan senjata yang berkuat kuasa dari 27 Oktober hingga 1 November telah berakhir,” kata Pesuruhjaya Hak Asasi Manusia Parlimen Ukraine, Dmytro Lubinets.
Beliau menyifatkan gencatan senjata sementara itu sebagai langkah penting dalam usaha kemanusiaan bersama Ukraine dengan Russia.
Rundingan antara Russia dan Ukraine yang diusahakan AS dijadual disambung semula bulan ini selepas terhenti sejak AS dan Israel melancarkan serangan bersama terhadap Iran pada Februari lalu.
Presiden Ukraine, Volodymyr Zelensky berkata pada Ahad bahawa negaranya bersedia menghentikan serangan terhadap kilang penapisan minyak Russia, seperti dituntut rakan sejawatnya, sekiranya Washington membekalkan Kyiv peluru berpandu pemintas Patriot yang berkuasa tinggi. – AFP











