Wujud syarikat bayar gaji graduan TVET setaraf pekerja asing

Wujud syarikat bayar gaji graduan TVET setaraf pekerja asing

JOHARI ABDUL GHANI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Sebahagian majikan masih gagal menawarkan gaji setimpal kepada graduan tempatan lepasan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) apabila kadar yang diberikan setaraf pekerja asing meskipun memiliki kelayakan.

Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Datuk Seri Johari Abdul Ghani berkata, masih wujud syarikat yang mencatatkan keuntungan RM100 juta, namun menawarkan gaji permulaan RM1,700 kepada pekerja tempatan.

Katanya, keadaan itu antara masalah yang dihadapi kerajaan dalam usaha mengurangkan kebergantungan industri terhadap pekerja asing dan memberi ruang pekerjaan kepada lepasan TVET.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Malangnya, sebahagian daripada syarikat ini mahu membayar pelajar TVET dengan kadar gaji pekerja asing.

“Bila kita naikkan gaji minimum RM1,700, dia bagi gaji kepada orang yang ada TVET ini sama dengan gaji pekerja asing,” katanya ketika sesi soal jawab lisan di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau menjawab soalan tambahan Tan Hong Pin (PH-Bakri) mengenai kesediaan kementerian memberikan kelonggaran pengambilan pekerja asing berdasarkan keperluan industri yang sudah melaksanakan automasi tetapi masih memerlukan buruh kasar.

Mengulas lanjut, Johari berkata, tawaran pekerjaan perlu memberikan nilai ekonomi kepada pekerja tempatan dan isu tersebut tidak boleh dianggap berpunca daripada sikap rakyat yang tidak mahu bekerja.

“Ini kerana pekerja tempatan juga perlu menanggung sewa kediaman di luar kawasan penempatan pekerja asing.

“Keadaan mereka tidak boleh disamakan dengan pekerja asing yang boleh berkongsi satu bilik sehingga 10 orang,” katanya.

Menurut beliau, dakwaan bahawa rakyat tempatan malas atau tidak mahu bekerja juga tidak tepat kerana kira-kira 100,000 orang menyeberang ke Singapura setiap pagi untuk bekerja.

Katanya, mereka termasuk pemegang diploma, ijazah dan sarjana yang sanggup melakukan pekerjaan hampir sama dengan pekerjaan di kilang dalam negara kerana nilai ekonomi yang diperoleh.

“Kenapa dia ambil kerja itu? Walaupun dia buat kerja itu lebih kurang kerja yang kita nak buat dalam kilang-kilang kita, tetapi sebab dia ada nilai ekonomi.

“Kalau pekerjaan ini tidak memberikan nilai ekonomi kepada mereka, mereka tidak akan ambil.

“Ramai rakyat tempatan turut memilih melakukan pekerjaan menerusi platform Grab kerana pekerjaan itu memberikan nilai ekonomi kepada mereka,” katanya.

Dalam pada itu, Johari berkata, kebergantungan syarikat yang sudah lama beroperasi di negara ini terhadap pekerja asing merupakan masalah kritikal yang perlu diuruskan.

Katanya, terdapat kira-kira 400,000 lepasan TVET yang mahu diberi ruang untuk mengisi keperluan pekerjaan, namun syarikat yang sudah beroperasi antara 10 hingga 20 tahun masih mahukan pekerja asing.

“Negara kini mempunyai 2.6 juta pekerja asing, tidak termasuk mereka yang berada di negara ini secara tidak sah.

“Penggunaan pekerja asing perlu ditumpukan kepada pekerjaan berbahaya, sukar dan kotor atau 3D,” katanya.

Sementara itu, Johari berkata, sasaran gaji median di bawah Pelan Induk Perindustrian Baharu 2030 (NIMP 2030) ialah RM4,510 berbanding paras semasa RM2,775.

“Peningkatan gaji itu perlu dilaksanakan secara beransur-ansur dan bukannya terus mencapai paras sasaran tersebut,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini