Zahirah Macwilson mohon maaf, tiada niat sentuh sensitiviti agama - Utusan Malaysia

Zahirah Macwilson mohon maaf, tiada niat sentuh sensitiviti agama

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Pelakon, Zahirah Macwilson, tampil memohon maaf susulan hantaran media sosialnya siang tadi yang disifatkan menyinggung sensitiviti masyarakat.

Zahirah, 31, berkata dia tidak berniat mengguris hati sesiapa dan telah memadamkan hantaran yang dibuatnya bagi mengelak spekulasi lebih besar.

“Pertama sekali, saya ingin memohon maaf sekiranya saya ada menyinggung perasaan sesiapa. Saya telah menurunkan hantaran tersebut tidak lama kemudian supaya tidak menyebabkan lebih banyak andaian yang salah.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Tidak pernah terdetik dalam hati saya untuk menyakiti kepercayaan sesiapa,” katanya menerusi hantaran di Instagram Story.

Mengulas lanjut, pelakon Good Boys Go To Heaven itu berkata dia sedang dalam fasa mendalami ilmu agama dengan melakukan rujukan serta kajian sendiri.

Jelasnya, hantaran yang dimuat naik sebelum ini hanyalah satu bentuk persoalan apabila fakta yang dibaca tidak selari dengan apa yang diperhatikan dalam kehidupan.

“Saya masih dalam proses belajar tentang agama dan kepercayaan. Sejak itu, saya telah melakukan penyelidikan bukan sahaja terhadap agama saya, tetapi juga kepercayaan lain.

“Saya mendapati ia agak pelik apabila fakta yang saya baca bercanggah dengan apa yang saya perhatikan.

“Tujuan hantaran tersebut bukanlah untuk mencari kesalahan sesiapa, sebaliknya hanya untuk meluahkan pemahaman saya yang bersifat ingin tahu,” katanya.

Dalam pada itu, Zahirah menegaskan bahawa dia sentiasa berpegang kepada nilai-nilai murni ajaran Islam yang menuntut penganutnya untuk menghormati sesama manusia.

“Islam telah mengajar saya untuk menjadi individu yang adil, baik hati, dan saksama serta tidak sesekali menghina orang lain,” katanya.

Terdahulu, kecoh di media sosial apabila Zahirah memuat naik hantaran mempersoalkan sambutan ajaran kepercayaan agama lain sekali gus dianggap tidak menghormati sensitiviti masyarakat. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini