KUALA LUMPUR: Sektor utiliti, pembinaan, perbankan dan teknologi dijangka menjadi antara tumpuan pelabur di Bursa Malaysia pada minggu depan.
Ini susulan pemangkin berkaitan pembangunan pusat data, infrastruktur digital serta keputusan dasar monetari Bank Negara Malaysia (BNM) pada 5 November ini.
Pakar Ekonomi Universiti Tun Abdul Razak (UNIRAZAK), Prof. Emeritus Barjoyai Bardai berkata, aktiviti dagangan yang tinggi tidak semestinya menjurus kepada kenaikan harga saham, sebaliknya turut boleh mencerminkan tekanan jualan dan ketidaktentuan sentimen pasaran.
“Sektor utiliti dan pembinaan berpotensi menarik minat pelabur susulan prospek pelaburan pusat data yang terus mewujudkan permintaan terhadap kontraktor, sistem elektrik, kemudahan penyejukan serta infrastruktur bekalan tenaga.
“Perkembangan itu memberikan sokongan kepada prospek jangka sederhana kedua-dua sektor, khususnya syarikat yang mempunyai pendedahan langsung kepada projek infrastruktur digital dan pembangunan pusat data,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Sementara itu, beliau berkata, sektor perbankan dijangka menerima perhatian menjelang pengumuman keputusan Jawatankuasa Dasar Monetari (MPC) BNM pada Khamis, 5 November.
“Pelabur dijangka meneliti keputusan kadar dasar semalaman (OPR), selain petunjuk dalam kenyataan dasar monetari BNM mengenai pertumbuhan ekonomi, inflasi dan risiko luaran.
“OPR ketika ini berada pada paras 2.75 peratus, dengan jangkaan sebahagian penganalisis bahawa kadar berkenaan dikekalkan.
“Sebarang perubahan atau petunjuk baharu dalam pendirian dasar monetari boleh mempengaruhi sentimen terhadap saham perbankan, khususnya dari segi margin faedah bersih, pertumbuhan pinjaman, permintaan kredit dan kualiti aset,” katanya.
Bagi sektor teknologi pula, perhatian dijangka tertumpu kepada syarikat semikonduktor, elektronik serta penyedia perkhidmatan berkaitan kecerdasan buatan (AI).
“Bagaimanapun, pelabur disaran menilai prospek pendapatan dan kedudukan kewangan syarikat berbanding bergantung semata-mata kepada sentimen positif terhadap perkembangan AI,” katanya.
Dalam perkembangan berkaitan, sektor tenaga dijangka bergerak seiring perubahan harga minyak mentah serta perkembangan geopolitik antarabangsa, manakala sektor perladangan pula bergantung kepada pergerakan harga minyak sawit mentah (CPO), permintaan eksport dan tahap pengeluaran.
“Selain faktor domestik, pelabur turut perlu memantau aliran dana asing yang masih berpotensi mempengaruhi pergerakan Bursa Malaysia.
“Tekanan jualan berterusan oleh pelabur asing boleh mengehadkan momentum kenaikan pasaran, meskipun terdapat peluang pembelian ketika harga saham mengalami penurunan.
“Harga minyak yang tinggi dan ketidaktentuan geopolitik juga berpotensi meningkatkan sikap berhati-hati pelabur terhadap aset berisiko,” katanya.
Sementara itu, Profesor Fakulti Ekonomi dan Pengurusan, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Profesor Dr. Mohd. Rizal Palil berkata, sektor teknologi, pembinaan dan perbankan dijangka terus menjadi tumpuan pelabur di Bursa Malaysia pada minggu hadapan, didorong aktiviti dagangan yang masih aktif serta minat belian terhadap saham terpilih.
“Selain tiga sektor berkenaan, sektor kesihatan dan sarung tangan turut berpotensi menerima sokongan belian, khususnya kaunter seperti Top Glove dan Supermax,” katanya.
Beliau berkata, sektor teknologi mencatatkan jumlah dagangan tertinggi sebanyak RM363 juta, diikuti pembinaan sebanyak RM110 juta dan tenaga RM87 juta, manakala sektor perbankan merekodkan RM46 juta.
Menurutnya, sektor perbankan dan teknologi juga berpotensi menarik minat pelabur asing berikutan kedudukan kedua-duanya yang penting dalam pasaran ekuiti tempatan.
“Aliran masuk dana asing sememangnya diperlukan bagi membantu memacu prestasi pasaran saham tempatan, manakala aliran keluar pula boleh memberikan tekanan kepada harga saham sekiranya tidak diimbangi oleh pembelian domestik,” katanya.
Beliau berkata, berdasarkan rekod Oktober 2026, aliran keluar bersih pelabur asing berjumlah RM620 juta.
“Bagaimanapun, jika mengambil kira andaian keuntungan 10 peratus, aliran dana pelabur asing dianggarkan sekitar RM550 juta bagi bulan berkenaan,” katanya.
Mengulas faktor yang mempengaruhi keputusan pelaburan, beliau berkata, pelabur institusi lazimnya lebih menumpukan kepada prestasi asas syarikat bagi mendapatkan keuntungan modal dan pulangan dividen.
“Antara aspek yang diberi perhatian termasuklah pendapatan sesaham (EPS), pulangan atas aset (ROA) serta petunjuk kewangan lain yang mencerminkan keupayaan syarikat menjana keuntungan.
“Sebaliknya, pelabur runcit lebih cenderung menggunakan analisis teknikal kerana kebanyakan mereka mengutamakan peluang mendapatkan keuntungan dalam tempoh jangka pendek,” katanya. – UTUSAN











