KOTA BHARU: Kelulusan beberapa projek pembangunan dan infrastruktur utama di Kelantan termasuk penyambungan Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) ke Rantau Panjang dijangka membuka lebih banyak peluang pekerjaan serta merancakkan ekonomi negeri.
Menteri Besar, Datuk Mohd. Nassuruddin Daud berkata, antara projek yang mendapat persetujuan Kerajaan Persekutuan hasil perbincangan bersama adalah pemanjangan landasan Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra (LTSIP), Pengkalan Chepa, dekat sini sejauh 400 meter serta sambungan ECRL dari Kota Bharu ke Rantau Panjang.
Katanya, pelaksanaan projek pembangunan dan infrastruktur berkenaan termasuk beberapa cadangan yang masih dalam perbincangan diharap mampu membawa perubahan besar kepada Kelantan.
“Jika infrastruktur dan pelabuhan tidak selesai, susah untuk membuka kilang dan sebagainya. Seperti di Selangor dan Pulau Pinang yang maju kerana infrastrukturnya cukup lengkap sehingga peluang pekerjaan terbuka luas.
“Kita ada memohon supaya ECRL disambung hingga ke Rantau Panjang kerana kawasan itu bersempadan dengan Selatan Thailand. Alhamdulillah, permohonan kita mendapat respons baik dan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan bahawa Kerajaan Persekutuan bersetuju,” katanya semasa menjawab soalan tambahan Saizol Ismail (Pas-Salor) mengenai bentuk kerjasama Kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri dalam meningkatkan pendapatan rakyat pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan di Kompleks Kota Darulnaim di sini, hari ini.
Mohd. Nassuruddin berkata, isu pembangunan dan infrastruktur perlu diberi keutamaan melalui keputusan bersama bagi mengenal pasti serta menyelesaikan masalah sebenar yang dihadapi.
Katanya, tiada masalah yang tidak boleh diselesaikan sekiranya semua pihak bersedia mengadakan perbincangan, malah hubungan antara agensi Kerajaan Persekutuan dengan kerajaan negeri di Kelantan berada pada tahap baik.
“Kerajaan negeri sentiasa mengambil pendekatan terbuka dan mengutamakan kepentingan rakyat, sebagaimana dijelaskan melalui penyelarasan jawatankuasa pembangunan di peringkat jajahan dan negeri termasuk mesyuarat khas bagi projek berimpak tinggi,” katanya. – UTUSAN











