Lakonan ibarat nasi lemak, tidak semua anggap sedap – Nadhir Nasar berlapang dada - Utusan Malaysia

Lakonan ibarat nasi lemak, tidak semua anggap sedap – Nadhir Nasar berlapang dada

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BUKIT JALIL: Pelakon, Nadhir Nasar, menganggap kritikan terhadap mutu lakonannya sebagai lumrah dalam dunia seni yang perlu diterima dengan hati terbuka.

Mengulas tanggapan segelintir penonton yang berpendapat dirinya lebih sesuai membawakan watak aksi berbanding romantik, Nadhir mengakui bukan mudah untuk memenuhi cita rasa semua pihak.

Menurutnya, setiap maklum balas, khususnya kritikan membina, merupakan ruang untuk dirinya memperbaiki mutu lakonan dan penghayatan terhadap watak yang dibawakan.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Bagi saya, sebagai pelakon, kita bekerja untuk khalayak ramai. Saya suka menerima komen yang membina. Ibarat kita menjual nasi lemak, ada orang kata tidak sedap, ada pula yang kata sedap. Itu perkara biasa.

“Kita tidak perlu memaksa semua orang untuk menyukai lakonan kita. Saya menghargai setiap maklum balas kerana ia membantu saya menambah baik lakonan dan cara menghidupkan watak pada masa akan datang,” katanya ketika ditemui pada sidang media drama Bayangan Dendam, baru-baru ini.

Mengulas mengenai drama arahan Helmi Yusof itu, Nadhir membawakan watak Farhan, lelaki manipulatif yang tidak beremosi selain digambarkan sebagai seorang anak yang terlalu bergantung kepada ibunya.

Menyedari watak Farhan menjadi perbualan hangat di media sosial, malah dilabel sebagai lelaki toksik oleh penonton, Nadhir menyifatkan reaksi tersebut sebagai petanda watak berkenaan berjaya meninggalkan kesan.

“Memang ada yang meluahkan rasa benci terhadap watak Farhan di platform X.

“Alhamdulillah, sebagai pelakon, saya melihat watak ini berjaya memberikan impak kepada penonton.

“Karakter Farhan sengaja dibentuk dengan pelbagai sisi berbeza dari episod pertama hingga ke-12 bagi membuatkan penonton terus tertanya-tanya tentang identiti sebenar pembunuh Melissa.

“Watak Farhan agak mencabar kerana dia seorang yang sukar membuat keputusan sendiri dan membesar hanya bersama ibunya. Ada banyak lapisan emosi yang perlu diterapkan untuk menghidupkan karakter ini,” jelasnya.

Dalam perkembangan lain, Nadhir turut menjelaskan keputusannya untuk tidak aktif menggunakan platform media sosial Threads kerana lebih selesa memberikan perhatian kepada kehidupan di dunia nyata.

Pelakon berusia 30 tahun itu berkata, tempoh 24 jam sehari dirasakan terlalu singkat sekiranya perlu diluangkan untuk mengikuti perkembangan di pelbagai platform media sosial.

“Hidup saya bukan sekadar di hadapan skrin, sebaliknya di dunia nyata bersama rakan-rakan dan keluarga. Saya tidak mahu menghabiskan hari-hari dengan melihat apa yang orang lain kongsikan di media sosial semata-mata.

“Bagi saya, apa yang kita hantarkan hari ini mungkin dilupakan orang keesokan harinya. Hari ini orang boleh suka kita, esok pula mereka boleh membenci kita. Jadi, saya lebih selesa menyimpan sesetengah perkara untuk diri sendiri,” katanya.

Drama Bayangan Dendam yang turut dibintangi Sophia Albarakbah dan Erysha Emira kini boleh ditonton menerusi platform penstriman Viu. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini