Sawda buru pengalaman sebelum terjun dunia elit

Sawda buru pengalaman sebelum terjun dunia elit

Sawda Hasbullah akan bertanding pada Kejohanan Kelas 2 di Tagaytay, Filipina sekali gus menguji kemampuannya sebelum melangkah ke kategori elit tahun depan. - UTUSAN/AMIR KHALID 
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Pelumba basikal trek remaja negara, Sawda Hasbullah menjadikan Kejohanan Kelas 2 di Tagaytay, Filipina medan menguji kemampuan sebelum melangkah ke kategori elit tahun depan.

Sawda berkata, penyertaan dalam kejohanan itu memberi peluang kepadanya membiasakan diri dengan persaingan pelumba lebih berpengalaman dan berusia, sekali gus membantu proses peralihan ke peringkat lebih tinggi.

Katanya, fokus utama bukan sekadar mengejar keputusan, sebaliknya memperbaiki catatan peribadi dan menimba sebanyak mungkin pengalaman berharga.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Saya cuba membuktikan kemampuan dan memperbaharui catatan terbaik peribadi terlebih dahulu kerana masih kurang pengalaman bersaing dengan pelumba yang lebih kuat.

“Saya mahu memberikan yang terbaik dan mendapatkan sebanyak mungkin pengalaman di sana,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia.

Sawda berkata, dia kini turut memberi perhatian lebih serius terhadap aspek latihan dan pemulihan bagi membentuk pendekatan lebih profesional menjelang cabaran dalam kategori elit.

Katanya, penyertaan dalam kejohanan peringkat Asia sebelum ini hanyalah permulaan kerana tahap persaingan dalam kategori elit jauh berbeza berbanding saingan remaja.

Sawda dijadualkan beraksi dalam acara pecut dan keirin, manakala penyertaannya dalam acara satu kilometer masih dalam perbincangan.

Dalam acara pecut, pelumba berusia 18 tahun itu menyasarkan catatan terbaik peribadi ketika kelayakan sebagai ukuran kemampuan bersaing dengan pelumba elit, selain berhasrat mara ke pusingan terakhir acara keirin.

Sawda menjelaskan, tumpuannya di Filipina lebih terarah kepada pengalaman kerana mata kelayakan yang dimilikinya untuk saingan tahun depan akan bermula semula daripada sifar.

Justeru, kejohanan yang berlangsung pada 4 Disember ini menjadi langkah awal buat Sawda membina keyakinan dan menyesuaikan diri dengan tahap persaingan lebih tinggi sebelum memulakan usaha mengumpul mata kelayakan bagi kejohanan dunia tahun depan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini