SHAH ALAM: “Jangan ingat keluarga anggota polis dan bekas polis tidak memerlukan bantuan. Mereka juga seperti orang lain, yang kerap kali dalam kesusahan.
“Sudahlah bertanggungjawab menjaga ketenteraman awam dan keselamatan negara, pada masa sama juga perlu menjaga ahli keluarga sendiri dan masyarakat sekeliling.”
Itu mesej yang disampaikan oleh Pengerusi Persatuan Pegawai Kanan Polis Pesara Selangor (RESPA), Datuk Zakaria Yusof pada majlis Hi-Tea Amal RESPA di Kelab Shah Alam di sini.
Majlis turut dihadiri dua bekas Timbalan Ketua Polis Negara, Tan Sri Dr. Mazlan Lazim dan Tan Sri Samsuri Arshad; Timbalan Ketua Polis Selangor mewakili Ketua Polis Selangor, Deputi Komisioner Wan Mohamad Zaini Hassan dan Timbalan Pengerusi RESPA, Datuk Wan Abdul Bari Wan Abdul Khalid.
Pada majlis berkenaan, dua ahli keluarga polis berpangkat rendah di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Shah Alam menerima zakat wakallah daripada PBLT Sdn. Bhd., syarikat Menteri Kewangan Diperbadankan yang dipengerusikan oleh Mazlan.
Zakaria menambah, memandangkan terdapat juga ahli keluarga polis dan bekas polis dari luar Selangor yang memerlukan bantuan, RESPA mengambil inisiatif untuk membantu kalangan mereka terbabit.
“Sebelum ini pun RESPA ada menyantuni dan menyerahkan bantuan kepada ahli keluarga polis dan bekas polis dari negeri-negeri lain selain Selangor.
“Langkah ini diambil atas dasar keprihatinan terhadap keluarga polis dan bekas polis,” katanya.
Pada majlis itu, dua anak Lans Koperal Nik Norasnita Nik Mustapha iaitu Muhamad Firas Ziqri Mohd. Zaire, 10, dan Nur Aleesa, 6, yang kematian bapa, juga bekas anggota polis pada Februari tahun lalu akibat denggi, menerima zakat wakallah berkenaan.
Turut menerima zakat wakallah ialah tiga beradik, Muhamad Zufayri Abd. Rahman, 18; Nur Qashrina Ilyana, 17, dan Nur Qisya Rania, 13, yang merupakan anak kepada Koperal Herfa Hasan dari IPD Shah Alam.
Zakaria berkata, RESPA sentiasa mendapat kerjasama dari pelbagai pihak termasuk swasta bagi membantu ahli keluarga bekas polis dan anggota polis.
“Dengan kerjasama semua pihak, barulah kita dapat membantu ahli keluarga bekas polis dan anggota polis,” katanya. -UTUSAN











