LFL, keluarga Noorizwan serah memorandum kepada Suhakam Isnin ini - Utusan Malaysia

LFL, keluarga Noorizwan serah memorandum kepada Suhakam Isnin ini

KIRA-kira 100 individu termasuk ahli keluarga, peguam dan pertubuhan masyarakat sivil berhimpun di Parlimen hari ini bagi menyerahkan memorandum menuntut keadilan berhubung kematian Noorizwan Zulkefly, 42, dalam tahanan polis.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Keluarga Noorizwan Zulkefly yang meninggal dunia dalam tahanan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Cheras akan menyerahkan memorandum kepada Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam) Isnin ini selepas 30 hari kematiannya.

Pengarah Lawyers for Liberty (LFL), Rania Aljunied berkata, memorandum itu antara lain menuntut campur tangan Suhakam bagi memastikan siasatan terhadap kematian Noorizwan dijalankan secara adil dan telus.

Menurutnya, keluarga Noorizwan sehingga kini masih tidak dimaklumkan sebarang perkembangan berhubung siasatan kes tersebut.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Memorandum berkenaan juga akan menggesa supaya mereka yang bertanggungjawab terhadap kematian Noorizwan dipertanggungjawabkan.

“Penyerahan memorandum dijadualkan berlangsung pada pukul 11.30 pagi di Pejabat Suhakam, Menara Aras Raya, Jalan Raja Laut, Kuala Lumpur.

“Sehingga kini tiada seorang pun pegawai polis digantung tugas, ditahan atau didakwa sepanjang tempoh sebulan selepas kematian Noorizwan dan tiada sesiapa yang dipertanggungjawabkan.

“Sebulan telah berlalu sejak Noorizwan Zulkefly meninggal dunia dalam tahanan polis di IPD Cheras, kes kematian dalam tahanan paling teruk sejak kes Kugan pada tahun 2009,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Rania berkata, LFL mendakwa Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman telah mengesahkan kecederaan Noorizwan disebabkan trauma tumpul dan bukan dilakukan sendiri.

Oleh itu, pertubuhan itu turut mempersoalkan siasatan kes berkenaan di bawah Seksyen 331 Kanun Keseksaan berkaitan kesalahan mendatangkan kecederaan dan bukannya Seksyen 302 kanun sama berkaitan kes bunuh.

“Keluarga masih dibiarkan dalam kegelapan, sementara polis dibiarkan menyiasat diri mereka sendiri. Keluarga tidak dimaklumkan tentang sebarang perkembangan kes,” katanya.

Selasa lalu, polis mengklasifikasikan semula kes kematian Noorizwan Zulkefly ketika dalam tahanan di IPD Cheras kepada sengaja menyebabkan cedera parah bagi memeras pengakuan.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk M Kumar berkata, ia selepas pakar forensik mengesahkan kecederaan pada tubuh Noorizwan konsisten dengan trauma akibat hentakan objek tumpul dan bukan kecederaan yang dilakukan sendiri.

Media sebelum ini melaporkan, Noorizwan ditahan di IPD Cheras berhubung kes yang disiasat mengikut Seksyen 39A(1) Akta Dadah Berbahaya 1952, Seksyen 457 Kanun Keseksaan dan Seksyen 379 Kanun Keseksaan.

Pada 30 September lalu, Noorizwan dirujuk ke Hospital Canselor Tuanku Muhriz (HCTM) untuk rawatan sebelum disahkan meninggal dunia pada pukul 1.52 pagi, 1 Oktober lalu. -UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini