MELAKA: Calon Pakatan Harapan (PH) bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Paya Rumput, Datuk Seri Azman Abidin mahu memanfaatkan pengalaman serta hubungannya dengan Kerajaan Persekutuan untuk membantu memenuhi keperluan penduduk di kawasan itu.
Azman berkata, pengalaman berkhidmat dengan Perdana Menteri serta kedudukannya dalam pentadbiran Persekutuan akan digunakan sebaik mungkin bagi memudahkan urusan dan keperluan masyarakat setempat.
Menurutnya, Paya Rumput merupakan kawasan separa bandar yang turut merangkumi kawasan kampung mempunyai keperluan dan bentuk perkhidmatan yang berbeza.
“Apa yang boleh saya cuba tawarkan adalah menggunakan kedudukan dan pengalaman saya berkhidmat dengan Perdana Menteri untuk membantu mempermudahkan segala keperluan penduduk Paya Rumput.
“Saya boleh gunakan hubungan saya dengan Kerajaan Persekutuan, kedudukan dan jawatan saya untuk memberi perkhidmatan di sini.
“Hubungan itu akan saya gunakan sebaiknya untuk kebaikan pengundi ataupun penduduk di DUN Paya Rumput,” katanya ditemui pemberita selepas selesai menyerahkan borang pencalonan sempena hari penamaan calon Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka ke-16 di Stadium Hang Jebat, hari ini.
Menurut Azman, sambutan yang diterima daripada penduduk setakat ini adalah baik, namun beliau akan terus menilai penerimaan pengundi sepanjang tempoh berkempen.
Katanya, penduduk Paya Rumput dilihat lebih terbuka terhadap perubahan memandangkan sebahagian besar mereka bekerja di kawasan bandar.
Mengulas persaingan di kerusi itu susulan penyandangnya beralih ke DUN Sungai Udang, beliau berkata, setiap calon mempunyai kekuatan tersendiri dan tidak boleh dipandang ringan
“Bagi saya, siapa pun calon yang bertanding, mereka mempunyai kekuatan yang berlainan.
“Saya kena berusaha untuk mendekati sebanyak mungkin orang Paya Rumput supaya mereka mengenali saya dan apa yang boleh saya tawarkan untuk mereka,” katanya.
Dalam pada itu, katanya, PH Melaka dijangka melancarkan manifesto pilihan raya negeri dalam tempoh satu atau dua hari lagi.
Katanya, kempen PH akan dilaksanakan secara berhemah dengan memberi penekanan kepada pencapaian serta perancangan gabungan itu untuk rakyat.
“Kita akan cuba membawa mesej mengenai apa yang sudah kita lakukan dan apa yang akan kita lakukan.
“Kita harap kempen pilihan raya kali ini di Melaka berjalan dengan baik, aman dan teratur,” katanya. -UTUSAN











