BUKIT KATIL: Presiden Parti Amanah Negara (Amanah), Datuk Seri Mohamad Sabu mengakui pengundi mungkin keliru dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka Ke-16 apabila Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH) yang bertanding menggunakan logo berbeza walaupun sebahagian daripada kerajaan Persekutuan.
Beliau berkata, keadaan itu menyebabkan kedua-dua pihak boleh mengaitkan pencapaian kerajaan sebagai kejayaan masing-masing, sekali gus menyerahkan kepada pengundi untuk menilai perkara berkenaan.
“Rakyat agak sedikit keliru sebab BN pun dalam kerajaan, PH pun dalam kerajaan. Jadi, kalau apa kejayaan yang disebut oleh BN adalah kejayaan kerajaan, kami pun sebut ia kejayaan pihak kerajaan.
“Terserahlah kepada pengundi untuk menimbang,” katanya ditemui di sini hari ini.
Menurutnya, pimpinan PH akan berusaha menjelaskan kepada masyarakat mengenai perkara itu sepanjang tempoh kempen, namun mengakui kekeliruan tersebut mungkin masih berlaku dalam kalangan pengundi.
“Kita akan usahakan terang. Tapi, saya sebut tadi, keliruan itu akan tetap ada pada orang,” katanya.
Mengulas suasana kempen, Mohamad berkata, keadaan berjalan lancar dengan kehadiran penyokong BN dan Perikatan Nasional (PN) yang ramai.
Beliau berkata, Amanah bagaimanapun memberikan tumpuan kepada kawasan yang ditandingi PH dalam PRN kali ini.
Dalam masa sama, beliau berharap agar penyandang kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) yang juga calon PH, Adly Zahari, diberikan mandat semula oleh pengundi.
“Dari segi sambutan rakyat, kami berkeyakinan Yang Berhormat Adly akan diundi kembali oleh penduduk di sini. Itu harapan kami,” katanya. -UTUSAN











