PETALING JAYA: Tunggakan bayaran interim kepada kontraktor serta pampasan pemilik tanah berjumlah RM259.503 juta membabitkan 112 projek masih belum dilunaskan oleh Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) setakat 30 September lalu.
Setiausaha Akhbar Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah, Fadzmel Fadzil berkata, tunggakan itu berpunca daripada komitmen projek tahun-tahun terdahulu yang sudah berjalan tetapi bayaran tidak dibuat sehingga terpaksa dibawa ke tahun berikutnya.
Katanya, keadaan itu menyebabkan kontraktor kecil termasuk kontraktor Bumiputera, tidak menerima bayaran meskipun kerja telah diselesaikan.
“KKDW terpaksa menggunakan peruntukan dalaman sedia ada untuk melunaskan tunggakan berkenaan sehingga menjejaskan pelaksanaan program dan projek penting lain yang membabitkan rakyat.
“Antara yang terjejas ialah peruntukan RM200 juta bagi pembinaan baharu dan baik pulih rumah golongan miskin, termasuk masyarakat Orang Asli.
“Turut terkesan ialah bantuan kepada usahawan kecil kumpulan B40 untuk menjalankan aktiviti ekonomi, termasuk pembelian enjin bot bagi nelayan dan jentera untuk petani,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Fadzmel berkata, dakwaan bahawa Kementerian Kewangan (MOF) perlu mengambil peruntukan daripada kementerian lain bagi menyelesaikan tunggakan itu perlu dikemukakan dengan bukti.
Katanya, setakat ini KKDW masih menggunakan Surat Kebenaran Berbelanja (SKB) melalui peruntukan dalaman sedia ada.
“Semua komitmen projek berkenaan dibuat dengan kelulusan MOF dan Kementerian Ekonomi, manakala pelaksanaannya dilakukan oleh Jabatan Kerja Raya (JKR).
“KKDW pula hanya menerima permohonan masyarakat luar bandar sebelum membuat perancangan pembinaan jalan berdasarkan kelulusan yang diberikan,” katanya.
Bagaimanapun, beliau berkata, surat MOF bertarikh 10 September 2026 secara jelas mengarahkan langkah kawalan perbelanjaan, termasuk penangguhan peruntukan yang telah diluluskan.
Beliau mempersoalkan tempoh penangguhan itu kerana ketiadaan kepastian mengenai jadual pelaksanaan boleh menjejaskan perancangan pembangunan untuk rakyat.
“Jadi sebab itulah kita nak MOF jawab, tangguh itu sampai bila? ‘Tangguh tanpa tarikh’ itu samalah ertinya dengan ‘batal’.
“Setiap tahun KKDW pasti akan ada senarai projek baharu yang telah pun ditetapkan, jadi kalau projek lama pun tertangguh tanpa kepastian jadual pelaksanaan, ia memang merosakkan perancangan pembangunan rakyat,” katanya.
Fadzmel berkata, sebanyak 40 projek Jalan Luar Bandar (JALB) dengan kos keseluruhan RM5.14 bilion terpaksa dibatalkan proses tender, manakala 87 projek lagi membabitkan kos RM8.10 bilion ditangguhkan pengeluaran Surat Setuju Terima (SST).
“Projek yang terlibat termasuk pembinaan jalan untuk rakyat di Sabah dan Sarawak. KKDW hanya bertindak mengikut tatacara kewangan kerajaan dan menyifatkan jalan luar bandar sebagai nadi kehidupan rakyat di Sabah, Sarawak serta Semenanjung, bukannya bahan politik.
“Rakyat luar bandar merupakan golongan yang paling terkesan apabila projek pembangunan jalan ditangguhkan atau dibatalkan,” katanya. – UTUSAN











