Gunung berapi paling aktif Filipina meletus - Utusan Malaysia

Gunung berapi paling aktif Filipina meletus

GUNUNG berapi Mayon meletus di selatan Manila hari ini. - AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MANILA: Salah sebuah gunung berapi paling aktif di Filipina memuntahkan tiang abu hitam setinggi ribuan meter ke udara pada Jumaat dalam satu letusan sederhana kuat yang berlangsung hampir enam minit, menurut pejabat seismologi negara itu.

Tiada laporan segera mengenai kematian atau kerosakan di pekan dan bandar sekitar Gunung Mayon.

Namun, institut gunung berapi negara itu menaikkan tahap amaran daripada 2 kepada 3 pada skala 0 hingga 5 dan mengarahkan pemindahan penduduk dalam lingkungan enam kilometer dari kawah gunung berkenaan.

Memuatkan artikel berkaitan…

Tiang abu setinggi 3,000 meter itu beransur-ansur bergerak ke arah barat daya, meliputi kawasan penempatan penduduk berhampiran, menurut kenyataan Institut Vulkanologi dan Seismologi Filipina.

“Mayon kini memasuki fasa baharu letusan magmatik dengan peningkatan kemungkinan aliran lava dan arus ketumpatan piroklastik (PDC) berbahaya yang boleh menjejaskan kawasan cerun atas hingga pertengahan gunung berapi itu dalam tempoh beberapa hari hingga minggu akan datang,” menurut kenyataan itu.

Institut berkenaan menggesa pihak berkuasa tempatan memindahkan penduduk dari kawasan berhampiran kawah berikutan bahaya arus ketumpatan piroklastik, aliran lava, runtuhan batu dan ancaman gunung berapi lain.

Pesawat juga dinasihatkan supaya tidak terbang berhampiran gunung berkenaan.

Gunung Mayon setinggi 2,462 meter yang mempunyai bentuk kon hampir sempurna itu terletak kira-kira 330 kilometer ke tenggara Manila. 

Ia merupakan antara tiga gunung berapi di Filipina yang menunjukkan peningkatan aktiviti sepanjang tahun ini, meskipun tiada letusan besar berlaku.

Pada Jun 2023, lebih 12,000 penduduk yang tinggal di kawasan lereng bawah gunung itu dipindahkan ke pusat pemindahan bagi melindungi mereka daripada abu dan gas beracun yang keluar dari kawahnya.

Letusan paling kuat di negara itu dalam beberapa dekad kebelakangan ini berlaku di Gunung Pinatubo pada 1991, mengorbankan lebih 800 orang serta menghasilkan awan abu yang bergerak sejauh ribuan kilometer. – AFP

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini