Bekas pemimpin pejuang Islam jadi Ketua Menteri Mindanao - Utusan Malaysia

Bekas pemimpin pejuang Islam jadi Ketua Menteri Mindanao

ABDULRAOF MACACUA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MANILA: Seorang bekas pemimpin pejuang Islam yang pernah menentang bapa Presiden Filipina ketika ini, Ferdinand Marcos semasa masih remaja dipilih pada Jumaat sebagai ketua menteri wilayah autonomi di selatan negara itu yang dibentuk selepas konflik bersenjata selama beberapa dekad.

Abdulraof Macacua, 69, dipilih oleh Dewan Perhimpunan Wilayah Autonomi Bangsamoro di Mindanao Muslim (BARMM) yang mempunyai 80 kerusi dengan memperoleh 51 undi, menurut pemerhatian wartawan AFP, kira-kira sebulan setengah selepas pilihan raya wilayah yang menyaksikan partinya gagal memperoleh majoriti 41 kerusi.

Pencabar utamanya yang juga bekas ketuanya dalam kumpulan gerila Barisan Pembebasan Islam Moro (MILF), Murad Ebrahim, memperoleh 27 undi ketika parlimen pertama yang dipilih menerusi pilihan raya di wilayah itu mula bersidang.

Memuatkan artikel berkaitan…

Seorang lagi anggota parlimen berkecuali, manakala seorang lagi tidak hadir kerana sakit.

Marcos, yang nama bapanya sama dengannya dan pernah memerangi pemberontakan masyarakat Islam yang tercetus di selatan kepulauan itu pada awal 1970-an, menjadi tetamu utama pada majlis pembukaan parlimen berkenaan.

“Memenangi hak untuk memerintah merupakan satu pencapaian besar. Kejayaan mengadakan pilihan raya parlimen Bangsamoro yang pertama pula merupakan satu lagi langkah bersejarah. Kini, cabaran sebenar bermula,” kata Marcos dalam ucapannya kepada dewan itu.

Beliau berkata, peranan kerajaan wilayah itu adalah untuk membentuk sebuah pentadbiran yang stabil bagi memastikan hasil keamanan dapat dirasai dalam kehidupan seharian setiap keluarga Bangsamor”.

Macacua dipilih sendiri oleh Marcos untuk menjadi ketua eksekutif sementara wilayah itu sebelum pilihan raya, satu langkah yang dibuat meskipun mendapat bantahan kepemimpinan tertinggi MILF.

Macacua dan Ebrahim yang sebelum ini berjuang bersama akhirnya membawa haluan masing-masing tidak lama selepas itu, sekali gus membuka laluan kepada persaingan sengit dalam pilihan raya September lalu.

BARMM kekal sebagai wilayah termiskin di negara itu dengan kadar celik huruf paling rendah berdasarkan tinjauan rasmi.

Kerajaan wilayah itu masih bergantung sebahagian besarnya kepada peruntukan dana pukal daripada kerajaan Filipina, yang dicadangkan berjumlah lebih AS$1.8 bilion (RM7.3 bilion) dalam Belanjawan Negara 2027. – AFP

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini