PETALING JAYA: Kerajaan digesa mendedahkan segera keseluruhan Laporan Jawatankuasa Khas Mengkaji Kompetensi Dewan Undangan Negeri (DUN) dalam Penggubalan Undang-Undang Islam (JKK) yang dilaporkan siap sejak Mac 2025.
Gesaan itu dibuat sekumpulan peguam yang berpandangan laporan berkenaan penting untuk memberi kefahaman kepada masyarakat mengenai struktur perundangan negara, bidang kuasa legislatif negeri serta pentadbiran undang-undang Islam.
Menurut kenyataan bersama mereka, JKK ditubuhkan pada 5 Disember 2023 bagi mengkaji, antara lain, kompetensi DUN dalam menggubal undang-undang Syariah susulan perkembangan undang-undang yang timbul daripada kes Nik Elin.
Jawatankuasa itu dipengerusikan bekas Ketua Hakim Negara, Tun Zaki Azmi bagi menjalankan penelitian menyeluruh dan mengemukakan cadangan penyelesaian terhadap isu-isu berbangkit.
“JKK diberikan tempoh setahun untuk menyelesaikan kajian dan difahamkan telah menyiapkan tugasan berkenaan dalam tempoh ditetapkan.
“Pada Mac 2025, Menteri yang bertanggungjawab terhadap hal ehwal agama ketika itu turut mengumumkan laporan berkenaan telah siap dan sedia untuk dibentangkan.
“Namun demikian, sehingga kini, setelah hampir setahun setengah daripada pengumuman tersebut, laporan berkenaan masih belum dibentangkan kepada masyarakat umum,” kata mereka dalam kenyataan hari ini.
Mereka berkata, keputusan kes Nik Elin mempunyai implikasi besar terhadap bidang kuasa negeri dalam menggubal undang-undang berkaitan kesalahan Syariah.
“Perkembangan itu turut menimbulkan persoalan undang-undang mengenai kedudukan beberapa peruntukan kesalahan Syariah negeri, termasuk yang mempunyai sejarah pelaksanaan sebelum merdeka, sekiranya dicabar di mahkamah pada masa hadapan.
“Justeru, pendedahan laporan JKK membolehkan masyarakat memahami isu perlembagaan dan perundangan yang dikenal pasti, kesan keputusan mahkamah terhadap kompetensi DUN serta cadangan penambahbaikan yang dikemukakan jawatankuasa berkenaan,” katanya.
Sehubungan itu, mereka menggesa kerajaan menerbitkan keseluruhan laporan berkenaan kepada orang awam dengan segera, selain menjelaskan pendirian serta tindakan susulan terhadap syor-syor yang dikemukakan.
Mereka turut meminta supaya sebarang proses pembaharuan atau penggubalan undang-undang susulan laporan itu dilaksanakan secara telus dan berhati-hati, selain melibatkan kerajaan negeri, pihak berkuasa agama, badan kehakiman dan perundangan, ahli akademik, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) serta masyarakat awam.
“Kami menghormati tanggungjawab kerajaan untuk meneliti sesuatu laporan sebelum mengambil tindakan tetapi ini tidak sepatutnya menahan Laporan JKK daripada didedahkan.
“Kami berpandangan bahawa setelah tempoh yang begitu panjang berlalu, tiada alasan yang munasabah untuk terus menangguhkan pendedahan laporan tersebut kepada masyarakat,” menurut kenyataan itu.
Kenyataan bersama itu ditandatangani Datuk Lukman Sheriff Alias, Datuk Zainul Rijal Abu Bakar, Fakhrul Azman Abu Hasan, Datuk Megat Abdul Munir, Datuk Mohamad Ezri Abdul Wahab, Datuk Adnan Seman @ Abdullah, Dr. Yusfarizal Yusoff, Muhamad Hisham Marzuki, Ahmad Edham Abdulwani dan Aidil Khalid. – UTUSAN











