Belum puas, Lee Junho mahu terus cabar diri - Utusan Malaysia

Belum puas, Lee Junho mahu terus cabar diri

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Berjaya mencipta nama sebagai penyanyi dan pelakon bukan alasan buat bintang Korea Selatan, Lee Junho, untuk berasa selesa dengan pencapaian yang diraih ketika ini.

Sebaliknya, anggota kumpulan K-pop 2PM itu percaya perjalanan sebagai anak seni sentiasa membuka ruang untuk meneroka sisi baharu dirinya, seiring dengan pengalaman dan emosi yang dilalui sepanjang kehidupan.

Bagi Junho, lakonan dan nyanyian bukan sekadar dua bidang berbeza yang diceburinya, sebaliknya wadah untuk menyampaikan pelbagai perasaan dan pengalaman manusia melalui karya seni.

Memuatkan artikel berkaitan…

Mengakui impian untuk bergelar pelakon sudah berputik sejak kecil, Junho berkata minat mendalam terhadap tarian dan nyanyian menjadi antara faktor yang mendorongnya memulakan perjalanan seni bersama 2PM sebelum mengembangkan bakat dalam dunia lakonan.

“Sejak kecil, saya memang menyimpan impian untuk menjadi pelakon. Namun, pada masa sama, saya juga sangat meminati tarian dan nyanyian. Sebab itu, apabila peluang untuk bergelar penyanyi muncul, saya membuat persiapan dan memulakan perjalanan bersama 2PM.

“Selepas aktif sebagai penyanyi, peluang untuk berlakon turut datang, walaupun agak lewat. Saya mengambil peluang itu dan berusaha bersungguh-sungguh sehingga berjaya berada pada tahap sekarang. Saya sangat bersyukur kerana dapat mengejar kedua-dua impian saya dalam bidang nyanyian dan lakonan,” katanya.

Kejayaan mengimbangi dua kerjaya itu membuktikan kesungguhan Junho dalam mengembangkan bakatnya, selain kesediaannya untuk terus belajar dan memperbaiki diri dalam industri hiburan yang sentiasa berubah.

Malah, ketika ditanya mengenai perbezaan antara dirinya sebagai penyanyi dengan pelakon serta bidang yang masih ingin diterokai, Junho mengakui masih banyak perkara yang ingin dilakukannya.

Menurutnya, pengalaman hidup yang sentiasa berkembang memberikan peluang untuk seseorang memahami emosi dengan lebih mendalam, sekali gus membolehkan emosi berkenaan diterje­mahkan menerusi karya seni.

“Banyak perkara yang masih ingin saya lakukan, sama ada sebagai penyanyi mahupun pelakon. Sepanjang menjalani kehidupan, kita akan sentiasa mengalami pelbagai perasaan baharu kerana emosi manusia tidak pernah terhenti pada satu tahap sahaja.

“Bagi saya, peranan penyanyi dan pelakon adalah untuk menzahirkan emosi yang dirasai pada sesuatu ketika melalui diri kita pada masa itu. Selagi saya masih mencintai pekerjaan ini, saya percaya saya akan terus mahu mencabar diri dengan mencuba sesuatu yang baharu,” katanya.

Pandangan itu memperlihatkan bagaimana Junho melihat kerjaya seni sebagai satu proses yang berkembang seiring perjalanan hidup, bukannya sekadar usaha untuk mengekalkan populariti atau mengulangi kejayaan terdahulu.

Cabaran baharu menerusi The Typhoon Company

Dalam perkembangan terbaharu kerjaya lakonannya, Junho turut berkongsi pengalaman membintangi drama The Typhoon Company atau Taepung Sangsa, sebuah projek yang menurutnya memberikan pengalaman berbeza berbanding watak-watak yang pernah dibawakannya sebelum ini.

Ketika berkongsi mengenai drama berkenaan, Junho memaklumkan penggambaran baru sahaja selesai kurang daripada seminggu sebelum sesi temu bual itu berlangsung.

Justeru, dia masih dalam proses melepaskan diri daripada watak yang dibawanya sebelum bersedia memberikan tumpuan kepada projek seterusnya.

“Sebenarnya, penggambaran The Typhoon Company baru sahaja selesai, belum sampai seminggu. Jadi, sekarang saya sedang cuba perlahan-lahan melepaskan diri daripada watak itu, sambil membuat persiapan untuk karya baharu.

“Watak dalam The Typhoon Company memberikan pengalaman yang agak berbeza daripada apa yang pernah saya lakukan sebelum ini. Saya rasa drama ini akan menampilkan sesuatu yang baharu dan mendebarkan, jadi saya sendiri sangat teruja untuk melihat bagaimana hasil akhirnya nanti,” katanya.

Perkongsian itu turut mencetuskan perbualan mengenai watak Junho dalam drama berkenaan yang digambarkan sebagai seorang lelaki dingin dan sukar didekati.

Bagaimanapun, suasana berbeza jelas terpancar ketika dia bertemu peminat, sekali gus memperlihatkan sisi dirinya yang lebih mesra dan hangat.

Mengulas perkara itu, Junho berkata pertemuan dengan peminat membantu dirinya kembali menjadi diri sendiri selepas menghayati watak yang dibawanya di layar kaca.

“Sudah tentu, apabila saya dapat bertemu peminat, saya secara semula jadi kembali kepada diri sendiri. Kehangatan yang ditunjukkan mereka membuatkan saya berasa selesa dan membantu saya meninggalkan watak itu sedikit demi sedikit,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini