SD Guthrie raih untung RM586.3 juta jual tanah Bukit Kerayong

SD Guthrie raih untung RM586.3 juta jual tanah Bukit Kerayong

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: SD Guthrie Berhad (SD Guthrie) dijangka memperoleh keuntungan bersih sebanyak RM586.3 juta menerusi cadangan pelupusan tanah ladang seluas 657.09 hektar di Bukit Kerayong, Klang, Selangor, pada nilai RM933.57 juta.

Menurut nota penyelidikan CIMB Securities, transaksi itu dijangka selesai pada suku pertama 2027, tertakluk kepada kelulusan Lembaga Tanah Ladang dan Kementerian Ekonomi.

“Pelupusan berkenaan melibatkan tanah pegangan bebas di Ladang Bukit Kerayong seluas 657.09 hektar kepada Bukit Kerayong Industrial Developments Sdn. Bhd., sebuah syarikat usaha sama pembangunan perindustrian yang turut disertai YTL Power dan Bumi Assets.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Di bawah struktur usaha sama itu, SD Guthrie akan memegang 30 peratus kepentingan, manakala YTL Power dan Bumi Assets masing-masing memiliki 35 peratus,” katanya. 

SD Guthrie turut komited untuk melabur sehingga RM101.12 juta dalam usaha sama berkenaan, merangkumi pelaburan ekuiti sebanyak RM3 juta dan pendahuluan jangka pendek RM98.12 juta.

Tanah berkenaan akan dibangunkan sebagai kawasan perindustrian bersepadu berskala ringan hingga sederhana, lengkap dengan kemudahan komersial sokongan.

CIMB Securities berkata, keuntungan bersih daripada pelupusan itu merangkumi keuntungan pelupusan sebanyak RM523.4 juta selepas mengambil kira pelarasan penyatuan sebanyak RM62.9 juta.

“Harga jualan tersebut juga melebihi lima peratus berbanding penilaian bebas CBRE WTW sebanyak RM889 juta.

“Transaksi berkenaan dilihat positif kerana membolehkan SD Guthrie merealisasikan nilai tanah ladang yang sebelum ini hanya menjana keuntungan bersih RM3.1 juta pada tahun kewangan 2025.

“Pada masa sama, syarikat itu masih mengekalkan pendedahan kepada potensi pendapatan pembangunan perindustrian menerusi pegangan 30 peratus dalam usaha sama berkenaan,” katanya. 

Daripada hasil pelupusan, sebanyak RM744.38 juta atau 80 peratus akan digunakan untuk membayar balik pinjaman, sekali gus mengurangkan nisbah penggearan pro forma syarikat daripada 0.24 kali kepada 0.20 kali.

Langkah itu dijangka menjana penjimatan kos faedah tahunan selepas cukai sebanyak RM18.3 juta, selain meningkatkan aset bersih sesaham daripada RM2.64 kepada RM2.72.

CIMB Securities menganggarkan keuntungan bersih pembangunan perindustrian SD Guthrie berpotensi mencecah RM960 juta pada tahun kewangan 2027, disokong pelupusan tanah Bukit Kerayong terbaharu dan penjualan tanah di Kulai, Johor yang diumumkan sebelum ini.

Anggaran itu melebihi unjuran semasa firma penyelidikan berkenaan sebanyak RM600 juta sebanyak RM360 juta, sekali gus menunjukkan potensi peningkatan 12 peratus terhadap unjuran keuntungan bersih kumpulan bagi tahun kewangan 2027.

Sehubungan itu, CIMB Securities mengekalkan saranan ‘Beli’ terhadap saham SD Guthrie dengan harga sasaran berasaskan jumlah bahagian (SOP) sebanyak RM6.52.

Bagaimanapun, firma penyelidikan itu berkata, unjuran pendapatan berkenaan masih tertakluk kepada semakan selepas keputusan kewangan suku ketiga 2026 SD Guthrie yang akan datang. –UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini