Orang terdekat Nadhir Nasar pula berlebih-lebih - Utusan Malaysia

Orang terdekat Nadhir Nasar pula berlebih-lebih

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Cik Bunga hendak sentuh sedikit kisah mengenai pelakon muda berbakat besar, Nadhir Nasar. Bukan kerana lakonannya, tetapi gara-gara soalan media yang dikatakan mengundang rasa kurang senang dalam kalangan pihak tertentu.

Khabarnya, Nadhir ditanya mengenai dakwaan segelintir warganet yang menyifatkan wajahnya seakan-akan orang tidak mandi. Pedas sungguh mulut netizen, ya!

Namun, apa yang menarik perhatian Cik Bunga, Nadhir dikatakan mampu menjawab pertanyaan itu dengan baik dan tenang.

Memuatkan artikel berkaitan…

Sebaliknya, timbul dakwaan ada individu yang rapat dengannya melenting, malah menyifatkan soalan berkenaan sebagai bodoh dan tidak berilmu.

Eh, sayang! Kalau tuan badan sendiri boleh menjawab dengan tenang, mengapa pula orang di sekelilingnya yang terlebih panas?

Cik Bunga masih ingat, sebelum ini pengacara terkenal dan selebriti yang dihormati dalam industri seni, Datuk Aznil Nawawi, pernah menyebut bahawa baginya, tiada soalan bodoh dalam dunia ini. Sebaliknya, apa yang lebih penting ialah bagaimana seseorang itu memberikan jawapan tanpa menampakkan dirinya bodoh.

Ada benarnya juga pandangan itu. Dalam dunia seni, berdepan dengan pelbagai soalan dan ragam media sudah menjadi sebahagian daripada perjalanan seorang anak seni. Ada soalan yang menyenangkan hati, ada juga yang menguji kesabaran. Namun, cara seseorang mengendalikan situasi itulah yang memperlihatkan kematangan dirinya.

Lagi pula, ini dunia hiburan. Tidak mungkinlah soalan tentang ekonomi dunia pula diajukan kepada Nadhir. Dunia seni ragamnya begitulah.

Bukanlah Cik Bunga mahu menafikan hak sesiapa untuk mempertahankan insan tersayang. Tidak perlulah sampai kemarahan orang lain pula menjadi cerita yang lebih besar daripada jawapan tuan badan sendiri.

Lagipun, Nadhir bukanlah budak yang terlalu baharu dalam industri. Barangkali, dia sendiri tahu bagaimana mahu menangani situasi sedemikian tanpa perlu orang lain terlebih dahulu menjadi jurucakap kemarahannya.

Bak kata orang, janganlah lebih sudu daripada kuah. Niat mahu membela itu mungkin baik, tetapi kalau akhirnya diri sendiri pula yang menjadi perhatian dan menampakkan diri anda pula melucukan, bukankah lain jadinya?

Apa-apa pun, Cik Bunga percaya, dalam dunia hiburan ini, kebijaksanaan bukan sekadar terletak pada apa yang kita tuturkan, tetapi juga pada bagaimana kita mengawal emosi ketika berhadapan dengan perkara yang kurang disenangi.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini