Tiada syarat tandatangani CSA - PM - Utusan Malaysia

Tiada syarat tandatangani CSA – PM

ANWAR Ibrahim
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Kerajaan tidak menetapkan sebarang syarat kepada mana-mana Ahli Parlimen pembangkang untuk menandatangani Perjanjian Keyakinan dan Perbekalan (CSA).

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, CSA yang dimeterai antara Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dengan kerajaan bukan sesuatu yang janggal sebaliknya pernah dilaksanakan ketika era Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Beliau berkata, CSA dimeterai adalah suatu persefahaman dan prinsipnya sama seperti dilaksanakan ketika dirinya menjadi Ketua Pembangkang sebelum ini.

Memuatkan artikel berkaitan…

Tambahnya, perjanjian itu sudah berulang kali disebutnya bahkan berikrar untuk meluluskannya jika mencapai kesepakatan walaupun masih diserang dengan dakwaan kononnya cuba menyekat peruntukan kepada pembangkang.

“Peruntukan Parlimen berjalan seperti biasa, (kepada) kerajaan atau pembangkang. Peruntukan melalui Ahli Parlimen itu mengikat kepada satu persefahaman sepertimana dilakukan oleh Kerajaan Perikatan Nasional (PN) dan Barisan Nasional (BN) semasa mereka berkuasa dan kita tandatangani.

“Masa itu saya selaku Ketua Pembangkang dan Datuk Seri Ismail Sabri (Yaakob) sebagai Perdana Menteri, itu yang kita lakukan (sekarang).

“(CSA ini juga terbuka) ia tak ada syarat kepada mana-mana Ahli Parlimen pembangkang, tak ada syarat,” katanya ketika ditemui pemberita di Masjid Al-Muqarrabin, di sini, hari ini.

Beliau berkata, persefahaman dicapai merupakan suatu perkembangan baik dan perjanjian tersebut terbuka kepada sesiapa sahaja yang bersetuju mengikut kaedah digunakan mereka dahulu.

“Ini bukan peraturan kita sekarang, peraturan yang guna pakai oleh kerajaan dulu yang disukai oleh Bersatu dan PAS, dan tentunya Barisan Nasional. Peruntukan itu ikut perbelanjaan dalam perbincangan sekarang, perbahasan, sebaik diluluskan akhir tahun ini, kita boleh salur ikut persefahaman,” katanya.

Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata, persefahaman seperti CSA diamalkan banyak negara demokrasi malah Malaysia sendiri pernah melaksanakannya.

Katanya, peruntukan kepada Ahli Parlimen yang menandatangani CSA akan disalurkan sebaik Belanjawan 2027 diluluskan di Parlimen.

Semalam, enam Ahli Parlimen Bersatu termasuk Presidennya, Tan Sri Muhyiddin Yassin memeterai CSA dengan kerajaan, antara lain menetapkan dua reformasi utama perlu dilaksanakan Putrajaya sebagai timbal balas kepada sokongan mereka.

CSA itu menetapkan bahawa kerajaan memastikan tempoh jawatan Perdana Menteri dihadkan serta peranan Peguam Negara dan Pendakwa Raya diasingkan sebelum berakhir penggal pentadbiran semasa.

Sebagai balasan, enam Ahli Parlimen pembangkang berkenaan akan menyokong Belanjawan 2027.

Majlis menandatangani perjanjian itu turut dihadiri lima Ahli Parlimen Bersatu yang lain iaitu Datuk Dr. Mohd. Radzi Md. Jidin (Putrajaya), Mohd. Nazri Abu Hassan (Merbok), Datuk Mohd. Suhaimi Abdullah (Langkawi), Datuk Ali Biju (Saratok) dan Datuk Azman Nasrudin (Padang Serai). – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini