deVokalis UPSI julang nama negara, juarai pertandingan koir di Korea Selatan - Utusan Malaysia

deVokalis UPSI julang nama negara, juarai pertandingan koir di Korea Selatan

deVokalis UPSI julang nama negara, juarai pertandingan koir di Korea Selatan
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TANJONG MALIM: Kumpulan koir deVokalis Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) mengharumkan nama universiti dan negara apabila muncul juara kategori Pop dan A Cappella pada Busan Choral Festival & Competition 2026 di Busan Cinema Centre, Korea Selatan, baru-baru ini.

Naib Canselor UPSI Prof. Datuk Dr. Md Amin Md Taff berkata, kejayaan itu turut menyaksikan kumpulan berkenaan meraih anugerah Gold Diploma Award dalam kategori Pop dan A Cappella serta kategori Ethnic & Traditional, sekali gus membuktikan keupayaan bakat seni suara universiti tempatan bersaing di peringkat antarabangsa.

Menurut Md Amin, pertandingan anjuran Korea Choral Institute itu berlangsung selama empat hari dan menghimpunkan kumpulan koir dari lima negara, iaitu Jepun, Korea Selatan, Indonesia, Malaysia dan Burundi.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Pasukan deVokalis UPSI yang dianggotai 22 orang, terdiri daripada 19 pelajar dan tiga staf pengiring, turut berentap dengan tiga kumpulan lain di peringkat akhir bagi merebut gelaran juara.

“Kemenangan dalam kategori Pop & A Cappella melayakkan pasukan itu menerima trofi, sijil pencapaian serta wang tunai berjumlah lima juta won Korea Selatan (kira-kira RM 17,000.00),” katanya dalam satu kenyataan.

Dalam pada itu, Md Amin Md Taff berkata, kejayaan itu mencerminkan komitmen universiti dalam membangunkan potensi pelajar secara holistik, khususnya melalui penglibatan dalam bidang seni, budaya dan aktiviti kokurikulum yang mampu membentuk keyakinan diri serta kemahiran insaniah.

“Pengiktirafan di pentas antarabangsa ini membuktikan bahawa pelajar UPSI mempunyai bakat, disiplin dan keupayaan untuk bersaing dengan peserta dari negara lain.

“Kejayaan ini juga menjadi kebanggaan universiti dan negara, selain memperlihatkan kepentingan sokongan berterusan terhadap pembangunan bakat seni dalam kalangan mahasiswa,” katanya.

Sementara itu, persiapan deVokalis UPSI menghadapi pertandingan berkenaan mengambil masa kira-kira lapan bulan, bermula Mac hingga Oktober 2026, dengan latihan intensif melalui bimbingan Lilis Syafiza Mohd Yatim bertindak sebagai konduktor dan jurulatih utama, manakala Muhamad Zulfeka Nasrun menggalas tanggungjawab sebagai pengurus latihan.

Md Amin berkata pasukan itu turut menerima bimbingan daripada Profesor Adjung Tersohor Fakulti Muzik dan Seni Persembahan (FMSP) UPSI, Datuk Syafinaz Selamat menerusi dua sesi latihan intensif sebelum berlepas ke Korea Selatan.

Tambah Md Amin, dari segi perancangan, sebahagian wang kemenangan akan diagihkan sebagai saguhati kepada pelajar atas usaha dan komitmen mereka, manakala sebahagian besar lagi disalurkan ke tabung pembangunan pasukan.

“Dana itu akan digunakan untuk membiayai program peningkatan kemahiran, termasuk bengkel latihan, selain menampung kos persediaan dan penyertaan dalam pertandingan serta persembahan pada masa hadapan,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini