BAGAN DATUK: Kerajaan melaksanakan Program Kebun Kerang Negeri Perak 2026 dengan sokongan peruntukan Kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri berjumlah RM3.6 juta bagi fasa perintis selama dua tahun.
Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Luar Bandar, Perladangan, Pertanian dan Industri Makanan Perak, Datuk Mohd Zolkafly Harun berkata, program itu memberi tumpuan kepada usaha meningkatkan pendapatan komuniti pesisir pantai selain memperkukuh bekalan kerang bagi memenuhi permintaan pasaran.
Menurutnya, program itu merangkumi empat daerah pesisir pantai iaitu Manjung, Kerian, Larut Matang dan Selama (LMS) serta Hilir Perak.
“Di Bagan Datuk sahaja, sebanyak 24 lot kebun kerang bagi fasa pertama telah disediakan dengan keluasan 21 hektar bagi setiap lot,” katanya kepada pemberita pada perasmian Program Kebun Kerang Negeri Perak 2026 di sini hari ini.
Hadir sama, Pengarah Perikanan Perak, Mohd Ghazali Abdul Manap dan Pegawai Daerah Bagan Datuk, Nazrul Fazami Mohamad.
Mohd Zolkafly berkata, pakej bantuan peralatan bernilai hampir RM800,000 turut diserahkan kepada peserta bagi membantu kelancaran operasi ternakan kerang.
“Bantuan itu merangkumi kelengkapan teknikal termasuk kor kerang, benih kerang berkualiti tinggi serta peranti Sistem Penentududukan Sejagat (GPS) untuk navigasi laut,” katanya.
Mengenai projek kebun kerang di Bagan Datuk, Mohd Zolkafly berkata, pelaksanaannya akan diperluas secara berperingkat dengan 13 pengusaha tambahan dikenal pasti bagi fasa kedua.
Menurutnya, fasa berkenaan melibatkan 10 individu, sebuah koperasi dan dua syarikat yang dipilih berdasarkan permohonan, kesesuaian kawasan serta hasil kajian Jabatan Perikanan dan agensi berkaitan.
“Kita juga menjangkakan kira-kira 14 pengusaha lagi bagi fasa ketiga, tertakluk kepada kelulusan Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMK).
“Kita berharap pelaksanaan program ini dapat meningkatkan daya saing subsektor akuakultur Perak dan menjadikan negeri ini antara hab pengeluaran kerang utama negara, selaras dengan agenda Perak Sejahtera 2030,” katanya. – UTUSAN











