PETALING JAYA: Pengerusi Lembaga Tabung Haji (TH), Tan Sri Abdul Rashid Hussain menerima Anugerah Pencapaian Seumur Hidup pada BusinessToday Industry Choice Awards 2026 sebagai pengiktirafan terhadap kerjaya cemerlang beliau dalam industri perkhidmatan kewangan Malaysia.
Anugerah yang disampaikan oleh BusinessToday dan REACH Publishing Group pada 28 Oktober lalu itu berlangsung dalam majlis bertemakan ‘ASEAN dan Melangkaui’.
Pengiktirafan berkenaan turut menyusuli pencapaian TH di bawah kepimpinan Abdul Rashid apabila institusi itu menerima Anugerah Berlian Labaytum bagi kecemerlangan operasi haji daripada Kementerian Haji dan Umrah Arab Saudi pada awal tahun ini.
Kejayaan itu merupakan kemenangan kedua berturut-turut TH dan anugerah Labaytum kelima yang diterima institusi berkenaan daripada kementerian itu.
Ketika menerima anugerah berkenaan, Abdul Rashid menyentuh perjalanan awal kerjayanya serta tanggungjawab yang dipikul dalam menerajui TH.
“Kami diamanahkan dengan simpanan jutaan umat Islam. Di sebalik setiap akaun, terdapat individu, keluarga dan impian yang amat bermakna untuk menunaikan ibadah haji.
“Amanah itu memerlukan penjagaan, ketelitian dan komitmen sepenuhnya daripada kami,” katanya.
Beliau berkata, pengiktirafan itu memberikan semangat baharu untuk terus menyumbang kepada masyarakat.
“Masih banyak yang perlu dilakukan, ilmu yang perlu dikongsi dan kehidupan yang boleh kami bantu untuk berubah.
“Ukuran sebenar perjalanan hidup seseorang ialah manfaat yang terus diberikan kepada orang lain selepas tugas kita selesai,” katanya.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada keluarga, rakan sekerja, rakan kongsi dan sahabat atas sokongan, nasihat serta kepercayaan yang diberikan sepanjang perjalanan kerjayanya.
Sebagai institusi kewangan Islam terkemuka negara, TH kekal komited memperkukuh kecemerlangan operasi serta memberikan perkhidmatan kepada pendeposit dan jemaah haji di Malaysia. – UTUSAN











