Madu Atau Racun, saya sendiri masih menunggu episod seterusnya ditayangkan - Elisya Sandha - Utusan Malaysia

Madu Atau Racun, saya sendiri masih menunggu episod seterusnya ditayangkan – Elisya Sandha

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: “Sejujurnya, saya sendiri masih menunggu episod ketujuh dan tidak tahu bila episod itu akan ditayangkan.”

Demikian respons pelakon, Elisya Sandha mengenai status penyiaran drama lakonannya, Madu Atau Racun yang dihentikan tayangan buat sementara sehingga kini, sejak September lalu.

Menurut Elisya, dia sendiri tidak mengetahui bila episod ketujuh drama berkenaan akan mula disiarakan, namun memilih untuk menerima situasi tersebut dengan hati terbuka.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Apa yang boleh saya katakan, saya hanyalah seorang pelakon yang menjalankan tanggungjawab dan tidak mahu menyentuh mana-mana pihak.

“Kalau seseorang pelakon membawa watak pembunuh, adakah itu bermakna dia benar-benar seorang yang jahat seperti pembunuh? Sudah tentu tidak.

“Saya melihat perkara ini dengan konsep yang sama. Cuma saya merasakan drama yang saya lakonkan ini mungkin kurang bernasib baik berbanding karya lain,” katanya ketika ditemui di majlis perlantikan rakan jenama Gardenia NuMee, pada Jumaat.

Ditanya sama ada dirinya terkilan atau tidak apabila drama lakonannya bersama Uqasha Senrose dan Aliff Aziz diturunkan sementara, Elisya enggan mengulas secara terperinci.

Bagaimanapun, pelakon 27 tahun itu percaya setiap perkara yang berlaku mempunyai hikmah dan pengajaran tersendiri.

“Saya menerima semuanya dengan hati terbuka. Saya percaya ada hikmah dan pengajaran di sebalik apa yang berlaku.

“Saya rasa lebih baik kita menyerahkan perkara ini kepada pihak produksi, stesen televisyen dan pengarah. Tentang perasaan kami sendiri, biarlah kami simpan dalam hati sahaja,” ujarnya.

Semalam, pihak Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) masih menunggu platform penstriman iQIYI menyiapkan suntingan semula drama Madu Atau Racun sebelum proses penilaian seterusnya dijalankan.

Terdahulu, FINAS memutuskan kesemua 12 episod drama Madu Atau Racun perlu disunting semula dan dikemukakan kembali kepada panel penilai untuk penilaian lanjut sebelum dibenarkan untuk disiarkan.

Dalam pada itu, drama bersiri Madu atau Racun dilaporkan memasuki fasa penilaian panel di bawah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM).

Drama tersebut mencetuskan kontroversi apabila memaparkan adegan yang mencetuskan rasa kurang senang dalam kalangan masyarakat.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini