PETALING JAYA: Perjanjian Kepercayaan dan Perbekalan (CSA) didakwa mengekang kebebasan pembangkang dalam menjalankan fungsi semak dan imbang terhadap kerajaan.
Ketua Penerangan Parti Wawasan Negara (Wawasan), Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal berkata, perjanjian itu mendatangkan lebih banyak mudarat berbanding manfaat kepada perjuangan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dan Perikatan Nasional (PN).
Katanya, perkara itu pernah dibincangkan dalam mesyuarat Biro Politik Bersatu bagi menentukan sama ada parti itu dan PN perlu menandatangani CSA yang dicadangkan kerajaan pimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim.
“Pengerusi Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin ketika itu turut menolak cadangan berkenaan kerana melihat syarat perjanjian itu sebagai berat sebelah dan boleh mengekang kebebasan pembangkang.
“Ringkasnya, pembangkang yang terikat dengan CSA bersyarat songsang ini terpaksa menjadi pak turut dan balaci PH dan DAP, yang menguasai dasar kerajaan. Itulah pembangkang mandul,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Wan Ahmad Fayhsal yang juga Ahli Parlimen Machang berkata, keputusan PN ketika itu jelas menolak CSA berkenaan dan turut menolak draf baharu yang dicadangkan kerajaan.
Beliau berkata, kerajaan tidak memerlukan CSA kerana sudah mempunyai majoriti dua pertiga di Parlimen.
Malah katanya, perjanjian tersebut merupakan alat untuk membelenggu pembangkang daripada mengkritik Perdana Menteri dan pihak berkaitan dalam isu sensitif termasuk dakwaan Mafia Korporat dan Yusuf Rawther.
“Ahli Parlimen yang menandatangani CSA berdepan kekangan untuk menegur kerajaan dalam isu tertentu, meskipun mereka masih boleh mengkritik beberapa menteri.
“CSA ialah alat mencipta controlled opposition iaitu pembangkang tanpa taring, dicucuk hidung seperti lembu bodoh.
“Mesejnya mudah ‘kamu boleh kritik Fadlina, Loke, Guan Eng, tetapi apa-apa kes dan skandal melibatkan saya, jangan sentuh’,” katanya.
Beliau turut mendakwa pernah memulakan teguran secara dalaman berhubung cadangan perjanjian itu, namun tidak berjaya.
“Setiap ahli parlimen yang menandatangani CSA dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, memikul beban tertentu yang memaksa mereka kini melutut atas nama rakyat.
“Saya ucapkan selamat maju jaya kepada mereka. Semoga rakyat mampu menilai siapa pejuang sebenar dan siapa musang berbulu ayam,” katanya.
Semalam, enam Ahli Parlimen Bersatu memeterai CSA dengan kerajaan, antara lain menetapkan dua reformasi utama perlu dilaksanakan Putrajaya sebagai timbal balas kepada sokongan mereka.
Enam wakil rakyat yang diketuai Presiden Bersatu itu mahu kerajaan memastikan tempoh jawatan Perdana Menteri dihadkan serta peranan Peguam Negara dan Pendakwa Raya diasingkan sebelum berakhir penggal pentadbiran semasa.
Sebagai balasan, enam Ahli Parlimen pembangkang berkenaan akan menyokong Belanjawan 2027. – UTUSAN











