TASEK GELUGOR: “Saya tak periksa langsung emel ketika mula-mula ditawarkan biasiswa ini. Jadi, apabila saya terima panggilan yang memaklumkan mengenai perkara itu, memang saya melompat gembiralah.”
Itu kata Muhammad Farish Adam Mohd Fadzli, 18, ketika ditanya mengenai reaksinya semasa mula-mula menerima tawaran untuk Biasiswa Anak eKasih (BAeK) daripada Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN).
Anak kepada pemandu bas kilang itu berkata, dia amat bersyukur dan terharu kerana bantuan tersebut bukan sahaja mampu meringankan beban kewangan keluarganya, malah secara tidak langsung memberikan semangat untuk dia menumpukan sepenuh perhatian terhadap pengajian.
“Saya memang tak sangka PTPTN ada tawarkan biasiswa dan saya merupakan antara pelajar yang terpilih untuk menerima tawaran tersebut. Terima kasih PTPTN,” katanya.

Muhammad Farish berkata demikian ketika ditemui di kediamannya di Kampung Baharu di sini selepas menerima kunjungan Pengerusi PTPTN, Datuk Seri Norliza Abdul Rahim.
Dia yang baru sahaja memulakan pengajian di Politeknik Seberang Perai (PSP) dalam jurusan Diploma Kejuruteraan Mekanikal (Pembuatan) itu turut berazam untuk memanfaatkan sepenuhnya bantuan yang diterimanya demi mengejar impiannya untuk bergelar jurutera.
“Insya-Allah, saya tak akan kecewakan harapan semua orang,” kata anak bongsu daripada tiga beradik itu lagi,” ujarnya.
Sementara itu, seorang lagi penerima, Muhammad Syafiq Qausal Abdul Hamid, 18, ketika ditemui di rumahnya di Kampung Ekor Kucing di sini berkata, dia juga terkejut semasa mula-mula ditawarkan biasiswa berkenaan oleh PTPTN.
“Saya bersyukur sangat-sangat kerana dapat tawaran biasiswa untuk sambung belajar daripada PTPTN. Sebenarnya, selepas habis SPM (Sijil Pelajaran Malaysia) pun saya buat macam-macam kerja sambilan untuk menyimpan wang yang akan digunakan untuk sambung belajar nanti.
“Alhamdulillah, impian saya dikabulkan,” kata anak bongsu daripada dua beradik itu yang masih bersedih selepas kematian bapanya kira-kira enam bulan yang lalu.

Dalam pada itu, Muhammad Syafiq yang juga telah memulakan pengajiannya di PSP dalam
jurusan Diploma Kejuruteraan Elektrik dan Elektronik berjanji untuk belajar bersungguh-sungguh bagi membalas jasa ibunya, Zunaidah Hamid, 55, yang sebelum ini bekerja sebagai penjual lemang untuk menyara kehidupan mereka.
“Ibu saya kini ada masalah penglihatan rabun dan dia tidak dapat melihat dengan jelas sejak empat tahun lepas. Mujurlah abang sulung saya masih ada untuk menemaninya di rumah semasa saya sedang menyambung pengajian di PSP,” katanya.-UTUSAN












