BRUSSELS: Sekumpulan 15 organisasi media, persatuan wartawan dan badan kebebasan akhbar menggesa Presiden Suruhanjaya Eropah, Ursula von der Leyen menambah baik akses wartawan kepada dokumen awam berkaitan projek di Gaza.
Gesaan itu dibuat ketika siasatan Ombudsman Kesatuan Eropah (EU) berhubung keengganan suruhanjaya itu mendedahkan dokumen berkaitan Gaza sedang berlangsung, lapor Anadolu.
Dalam surat terbuka kepada von der Leyen, organisasi berkenaan menggesa badan eksekutif EU itu menangani apa yang disifatkan sebagai ‘krisis senyap’ yang menjejaskan usaha wartawan mendapatkan maklumat bagi meneliti isu berkepentingan awam.
Desakan itu dibuat selepas Ombudsman Eropah, Teresa Anjinho minggu lalu memulakan siasatan terhadap aduan sebuah portal berita berhubung keengganan suruhanjaya itu mendedahkan 17 dokumen mengenai projek infrastruktur yang dibiayai EU di Semenanjung Gaza.
EUobserver mula memohon dokumen berkenaan pada Februari sebagai sebahagian daripada siasatan untuk meneliti sejauh mana serangan Israel memusnahkan infrastruktur yang dibiayai EU di wilayah Palestin itu.
Suruhanjaya berkenaan enggan mendedahkan dokumen tersebut dengan alasan tiada kepentingan awam yang mengatasi alasan untuk tidak mendedahkannya. Rayuan susulan yang dikemukakan EUobserver juga tidak mendapat sebarang maklum balas.
Sebagai langkah awal siasatan, Anjinho meminta suruhanjaya itu memberikan maklum balas terhadap rayuan berkenaan selewat-lewatnya pada 4 November. Jika badan eksekutif EU itu gagal memberikan jawapan yang memuaskan, beliau akan meneliti sendiri dokumen berkenaan.
Dalam perkembangan itu, 15 organisasi berkenaan berkata, wartawan sering berdepan kelewatan serius untuk mendapatkan dokumen, penolakan permohonan yang dipersoalkan serta pemadaman maklumat secara meluas sehingga dokumen yang didedahkan hampir tidak lagi bermakna.
Mereka turut mendakwa suruhanjaya itu dalam sesetengah keadaan gagal menyimpan dan mengarkibkan dokumen penting dengan sewajarnya.
Menurut surat berkenaan, sekatan itu menjejaskan pelaporan mengenai isu berkepentingan awam, termasuk penggunaan berbilion euro dana pemulihan pasca Covid-19 oleh negara anggota EU serta kerjasama dengan Israel dalam penyelidikan persenjataan.
“Perbahasan awam di seluruh Eropah terjejas. Laporan yang sepatutnya didedahkan tidak muncul. Rakyat tidak dapat membuat pertimbangan politik penting pada saat-saat genting,” menurut surat itu.
Organisasi terbabit turut menggesa suruhanjaya itu membatalkan peraturan tatacara dalaman yang diperkenalkan pada Disember 2024, yang menurut mereka menyukarkan akses kepada dokumen, selain memastikan peraturan mengenai akses awam kepada dokumen EU dilaksanakan dengan tegas.
“Reputasi Suruhanjaya Eropah dalam melindungi nilai demokrasi EU kini terancam. Ketika norma demokrasi diserang di seluruh dunia, inilah masanya untuk mempertahankan nilai-nilai tersebut,” menurut surat itu.
Antara organisasi yang menandatangani surat berkenaan ialah Jawatankuasa Melindungi Wartawan (CPJ), EUobserver, Persekutuan Wartawan Eropah, Follow the Money, Forbidden Stories, Persekutuan Wartawan Antarabangsa, Institut Akhbar Antarabangsa, Investigate Europe dan PEN International.











