Liyana cabar kelompok elit Maybank LPGA 2026

Liyana cabar kelompok elit Maybank LPGA 2026

AKSI Liyana Durisic pada pusingan pertama Kejohanan Golf Maybank LPGA 2026 di kelompok enam terbaik, hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Status pemain kelayakan tidak menghalang Liyana Durisic daripada mencuri tumpuan apabila mengakhiri pusingan pertama Kejohanan Golf Maybank LPGA 2026 di kelompok enam terbaik, semalam.

Pada aksi pusingan pertama, Liyana mencatat lima di bawah par 67 pukulan di Kuala Lumpur Golf and Country Club (KLGCC) untuk berkongsi kedudukan keenam bersama enam pemain lain, bagi meletakkan dirinya dalam persaingan untuk memburu kedudukan lebih baik dalam tiga pusingan berbaki.

Turut menghuni kedudukan itu ialah Arpichaya Yubol dari Thailand, Choi Hye-Jin dan Hwang Youmin dari Korea Selatan, Robyn Choi dari Australia serta Julia Lopez Ramirez dari Sepanyol.

Memuatkan artikel berkaitan…

Kunci kepada permulaan meyakinkan pemain negara itu ialah keupayaannya mengelak daripada melakukan bogey, selain bijak mengawal arah pukulan bagi memastikan bola kekal di kawasan yang membolehkannya meneruskan permainan dengan baik.

“Hari ini(semalam) semuanya berjalan dengan sangat baik. Pukulan saya juga sangat bagus dan saya berjaya memastikan bola yang tersasar mendarat di kawasan yang sesuai, seperti yang perlu dilakukan di padang ini.

“Saya mengurangkan kesilapan dengan memastikan bola yang tersasar tetap berada di kawasan yang betul. Selain itu, saya berjaya melakukan dua putting di beberapa lubang dan semuanya membantu saya mencatatkan pusingan yang baik,” katanya kepada pemberita selepas menamatkan pusingan pertama.

Dia turut mengakui selain ketepatan pukulan, kehadiran rakan-rakan rapat yang datang memberikan sokongan turut menjadi pembakar semangat buat Liyana untuk memberikan aksi terbaik di hadapan penyokong sendiri.

Pemain itu mengakui sokongan berkenaan memberikan motivasi tambahan, terutama apabila rakan-rakannya terus berada di situ sehingga tamat sembilan lubang terakhir.

“Sokongan mereka memberikan saya banyak tenaga. Saya bukan bermain untuk diri sendiri sahaja, tetapi juga untuk orang lain dan negara saya,” ujarnya.

Liyana turut mendapat bantuan abangnya yang bertindak sebagai kedi, sekali gus membantu memastikan dirinya kekal tenang dan fokus ketika mengharungi cabaran di padang.

Dalam perkembangan lain, Genevieve Ling dan Natasha Oon berkongsi kedudukan ke-64 selepas masing-masing mencatat dua di atas par, 74 pukulan, manakala Mirabel Ting menamatkan pusingan pembukaan dengan tiga di atas par, 75 pukulan.

Kelly Tan pula merekodkan empat di atas par, 76 pukulan untuk melengkapkan aksi pemain negara pada pusingan pertama kejohanan berkenaan.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini