TASEK GELUGOR: Seramai 1,552 pelajar telah ditawarkan biasiswa daripada Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) menerusi inisiatif Biasiswa Anak eKasih atau BAeK PTPTN.
Pengerusi PTPTN, Datuk Seri Norliza Abdul Rahim berkata, inisiatif pendidikan itu telah diumumkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim semasa pembentangan Belanjawan 2026 tahun lalu.
Katanya, ia diperkenalkan bertujuan membantu pelajar miskin dan miskin tegar yang berdaftar dalam pengkalan data e-Kasih untuk melanjutkan pengajian di Institusi Pendidikan Tinggi Awam (IPTA).
“Namun saya dimaklumkan masih ramai pelajar yang belum menghantar semula dokumen perjanjian untuk menerima BAeK.
“Jadi, saya menyeru kepada semua penerima bantuan biasiswa ini, segeralah hantar semula dokumen perjanjian ini dalam 60 hari agar urusan pembiayaan dapat diuruskan dengan lebih efisien.
“Ini juga adalah antara usaha kerajaan untuk membantu golongan yang kurang berkemampuan agar anak-anak mereka dapat menyambung pengajian tanpa memikirkan masalah kewangan,” katanya.
Beliau ditemui semasa hadir sendiri menyerahkan tawaran biasiswa itu kepada dua orang penerima di Kampung Baharu dan Kampung Ekor Kucing di sini, Selasa lalu,
Hadir sama Ketua Eksekutif PTPTN, Ahmad Dasuki Abdul Majid, Wan Zawiah Wan Abu Bakar, Pengurus Besar Kanan PTPTN dan Pengarah Negeri, Pejabat PTPTN Pulau Pinang, Muhammad Muhsin Abdul Rahman.
Difahamkan, kedua-dua penerima tersebut yang kini sedang melanjutkan pengajian mereka di peringkat diploma di Politeknik Seberang Perai (PSP) merupakan sebahagian daripada penerima BAeK PTPTN untuk negeri Pulau Pinang setakat ini.
Sementara itu, Norliza berkata, selain Pulau Pinang, PTPTN juga telah turun padang ke beberapa negeri lain termasuk Melaka dan Johor untuk menyampaikan tawaran biasiswa tersebut.
“Oleh itu, kita mintalah sekali lagi kepada pelajar yang belum menghantar dokumen perjanjian walaupun telah mendapat tawaran untuk menerima BAeK agar segera berbuat demikian.
“Mungkin sebelum ini ramai antara mereka yang masih kurang peka atau tidak tahu bahawa ini (BAeK PTPTN) adalah biasiswa dan bukannya pinjaman.
“Jadi, kepada mereka yang layak, tampillah dan serahkan dokumen perjanjian yang diterima agar kami dapat membuat penyaluran biasiswa dengan lebih efisien, Insya-Allah,” katanya. – UTUSAN











