PETALING JAYA: Sebanyak 83 peratus amanah pelaburan hartanah Malaysia (M-REIT) menjangkakan elemen alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG) memberi kesan kepada penilaian hartanah pada masa hadapan.
Dapatan itu diperoleh menerusi laporan Daya Tahan Iklim dalam Tindakan: Bagaimana REIT Malaysia Bertindak Balas Terhadap Landskap Risiko yang Berubah yang diterbitkan oleh Knight Frank Malaysia.
Berdasarkan Kaji Selidik ESG M-REIT 2026 yang dijalankan dengan kerjasama Persatuan Pengurus REIT Malaysia (MRMA), responden menggariskan beberapa faktor utama yang memacu penggunaan ESG dalam tempoh lima tahun akan datang.
Faktor berkenaan merangkumi keperluan kawal selia, prestasi kewangan peringkat aset susulan penetapan harga karbon, serta permintaan dan keperluan daripada penyewa.
Pengarah Urusan Kumpulan Knight Frank Malaysia, Keith Ooi berkata, walaupun ESG semakin diserapkan dalam keputusan pengambilalihan dan perancangan portfolio, liputan pensijilan bangunan hijau masih mempunyai ruang peningkatan yang besar.
Menurut beliau, buat masa ini hanya 28 peratus M-REIT mempunyai lebih 40 peratus jumlah keluasan lantai kasar (GFA) yang memenuhi piawaian bangunan hijau.
“Keadaan itu menunjukkan wujudnya jurang antara keutamaan di peringkat lembaga pengarah dan organisasi dengan pelaksanaan di lapangan.
“Kajian itu turut mendedahkan cabaran utama M-REIT dalam memajukan agenda kemampanan, termasuk kesukaran menyimbangkan pelaburan penyahkarbonan dengan jangkaan agihan sesaham (DPU) yang dicatatkan sebanyak 78 peratus.
“Selain itu, halangan lain yang turut dikenal pasti termasuk tentangan atau penglibatan rendah daripada penyewa dalam inisiatif kemampanan (50 peratus) serta keterhadan data ESG peringkat aset (33 peratus),” katanya dalam kenyataan.
Sementara itu, Pengerusi Eksekutif Kumpulan Knight Frank Malaysia, Sarkunan Subramaniam berkata, 56 peratus peserta menganggap insentif kewangan daripada pembiayaan hijau atau berkaitan kemampanan masih belum mencukupi untuk mempercepatkan pelaburan.
“Portfolio M-REIT yang bersedia untuk masa hadapan bukan sahaja ditakrifkan oleh komitmen kemampanan, tetapi juga keupayaan menyampaikan prestasi operasi yang lebih kukuh dan penciptaan nilai jangka panjang,” katanya.
Laporan yang dilancarkan pada 27 Oktober lalu itu menilai kesiapsiagaan sektor REIT Malaysia dalam mendepani risiko iklim menerusi kajian terhadap 18 M-REIT merentasi pelbagai kelas aset. – UTUSAN











