Semak kelayakan kontraktor, pensijilan produk sebelum ubah suai

Semak kelayakan kontraktor, pensijilan produk sebelum ubah suai

PRESIDEN CIS dan Penganjur HOMEDEC, Datuk Vincent Lim (dari kiri) bersama Presiden PAM, Ar IDr Dexter Koh; Presiden MIID, Profesor IDr Norshafina Ibrahim; Presiden MIIP, Elvin Tay dan Presiden SWEDA, Yap Ming Sin bergambar selepas sesi dialog industri HOMEDECares, "Renovation Price Wars: Where Does It End?” di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur di sini hari ini. - UTUSAN/AMIR KHALID
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Pemilik rumah disaran menyemak kelayakan profesional kontraktor, arkitek dan pereka bentuk dalaman serta pensijilan produk elektrik dan bahan binaan sebelum memulakan kerja pengubahsuaian bagi mengelakkan kerugian kewangan, masalah kualiti dan risiko keselamatan.

Presiden Pertubuhan Akitek Malaysia, AR, IDr. Dexter Koh berkata, pemilik rumah perlu memastikan individu profesional yang dilantik berdaftar dengan badan berkaitan serta mempunyai kelayakan untuk melaksanakan kerja yang dirancang.

Beliau berkata, status pendaftaran arkitek boleh disemak melalui laman web Lembaga Arkitek Malaysia (LAM), manakala kelayakan kontraktor boleh diperiksa menerusi Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB).

Memuatkan artikel berkaitan…

“Pemilik rumah perlu memahami bahawa kerja pengubahsuaian bukan sekadar soal reka bentuk dan kos, sebaliknya turut melibatkan pematuhan peraturan, keselamatan dan perlindungan kepentingan pemilik,” katanya kepada dalam Dialog 2.0 dalam industri hiasan dalaman dan kelengkapan rumah (HOMEDECARES) di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) di sini.

Sementara itu, Presiden Institut Pereka Dalaman Malaysia (MIID), IDr. Norshafina Ibrahim pula menekankan kepentingan penglibatan profesional dalam memastikan pemilihan bahan, spesifikasi reka bentuk dan pelaksanaan kerja memenuhi keperluan yang ditetapkan.

Menurut beliau, pengasingan peranan antara pihak yang mereka bentuk dengan pihak yang melaksanakan kerja juga boleh membantu meningkatkan pemantauan, mengurangkan konflik kepentingan dan melindungi hak pelanggan.

“Pereka bentuk dalaman turut berperanan membantu pemilik rumah memahami spesifikasi bahan, ketahanan produk, jaminan serta keperluan penyelenggaraan sebelum membuat keputusan pembelian,” katanya. 

Sementara itu, Presiden Malaysian Interior Industry Partners Association (MIIP), Elvin Tay berkata, kontraktor yang berkelayakan dapat membantu memastikan kerja dilaksanakan mengikut spesifikasi, selain mengawal kualiti bahan yang digunakan.

Beliau berkata, pemilik rumah perlu menyemak pendaftaran kontraktor dengan CIDB, yang mengklasifikasikan kontraktor mengikut gred G1 hingga G7 berdasarkan kategori pendaftaran dan had nilai kerja yang dibenarkan.

“Pemilik rumah tidak seharusnya memilih kontraktor berdasarkan harga paling murah semata-mata. Mereka perlu mengambil kira kelayakan, pengalaman, kualiti bahan dan keupayaan kontraktor melaksanakan kerja mengikut spesifikasi,” katanya.

Beliau turut mengingatkan penggunaan bahan binaan yang tidak memenuhi piawaian boleh menyebabkan kerosakan dan memerlukan kerja pembaikan semula, sekali gus meningkatkan kos pengubahsuaian.

Menurutnya, terdapat pemilik rumah yang terpaksa mendapatkan khidmat kontraktor lain untuk membaiki kerja yang tidak memuaskan atau menggantikan bahan berkualiti rendah yang digunakan dalam projek terdahulu.

HOMEDECARES 2026 berlangsung sehingga 1 November 2026 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini