Yayasan Pahang raih pengiktirafan BusinessToday Industry Choice Awards 2026 - Utusan Malaysia

Yayasan Pahang raih pengiktirafan BusinessToday Industry Choice Awards 2026

MAHMUD Mohd. Nawawi (tengah) menerima Special Award: Best in Social Impact & Economic Empowerment daripada Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz (kiri) pada majlis BusinessToday Industry Choice Awards 2026.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUANTAN: Yayasan Pahang menerima pengiktirafan Special Award: Best in Social Impact & Economic Empowerment pada majlis BusinessToday Industry Choice Awards 2026 yang berlangsung di ibu negara malam tadi.

Anugerah disampaikan oleh Pengerusi Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) merangkap Penasihat Kanan Politik kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz dan diterima oleh Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Pahang, Datuk Mahmud Mohd. Nawawi.

Pengiktirafan itu mencerminkan komitmen berterusan Yayasan Pahang dalam memperkasa masyarakat menerusi pendidikan, pembangunan komuniti dan pembukaan peluang ekonomi, selaras dengan aspirasi Pahang 1st.

Memuatkan artikel berkaitan…

Selain Yayasan Pahang, beberapa organisasi terkemuka turut menerima pengiktirafan dalam kategori masing-masing pada majlis berkenaan, antaranya Affin Bank, Tenaga Nasional Berhad (TNB), TM One dan Sime Darby Property.

MAHMUD Mohd. Nawawi bergambar bersama pegawai Yayasan Pahang.

Mahmud berkata, pengiktirafan berkenaan merupakan manifestasi komitmen Yayasan Pahang dalam memacu pembangunan sosioekonomi dan modal insan di negeri Pahang.

“Kejayaan ini tidak akan tercapai tanpa sokongan padu Kerajaan Negeri Pahang serta dedikasi warga kerja Yayasan Pahang dan Kumpulan yang sentiasa berusaha memastikan setiap inisiatif memberikan impak positif secara langsung kepada rakyat,” katanya.

Menerusi Program Jaminan Kerjaya di bawah YP Advanced Skills Sdn. Bhd., seramai 8,629 pelatih berjaya mendapatkan pekerjaan sejak 2021, dengan 63 peratus daripada mereka memperoleh pendapatan melebihi RM2,500 sebulan.

Dalam bidang pendidikan pula, Maahad Tahfiz Turath Negeri Pahang mencatatkan Gred Purata Sekolah (GPS) 0.60 dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2025, manakala Maahad Tahfiz Negeri Pahang merekodkan GPS 0.99.

Pencapaian itu memperkukuh tekad Yayasan Pahang untuk terus memperluas manfaat inisiatif pendidikan dan ekonomi kepada masyarakat, di samping memastikan setiap usaha pembangunan memberikan impak yang berterusan kepada rakyat negeri ini. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini