KUALA LUMPUR: Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) sedang meneliti peruntukan Akta 757 menerusi Akta Pengurusan Strata 2013 secara menyeluruh bagi memperkukuh instrumen perundangan kutipan tunggakan serta memastikan hak asas pemilik sentiasa dilindungi.
Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming berkata, ia merupakan antara langkah yang diambil oleh pihak kerajaan bagi memastikan industri strata kekal mampan dan harmoni.
Beliau berkata, kerajaan sentiasa mendorong badan pengurusan mengutamakan rundingan berhemah melalui jadual pembayaran berperingkat bagi pemilik yang menghadapi kesulitan kewangan tulen menerusi penggalakan skim ansuran bersasar.
“Melalui Jabatan Perumahan Negara (JPN) di seluruh Pihak Berkuasa Tempatan (PBT), KPKT giat memberikan khidmat nasihat dan pemerkasaan undang-undang kepada Badan Pengurusan Bersama (JMB) dan Perbadanan Pengurusan (MC) agar sebarang tindakan pemulihan tunggakan dibuat mengikut lunas undang-undang tanpa menindas hak pemilik,” katanya di Dewan Rakyat, hari ini.
Beliau menjawab soalan Jimmy Puah Wee Tse (PH-Tebrau) mengenai kedudukan undang-undang terkini dalam isu berkenaan hak pihak pengurusan untuk menghadkan akses kemasukan bagi mereka yang ingkar pembayaran yuran penyelengaran bagi hartanah strata.
Kor Ming berkata, undang-undang sedia ada membenarkan badan pengurusan strata termasuk JMB dan MC mengambil tindakan pentadbiran ke atas pembeli, pemilik petak atau penghuni yang gagal menjelaskan bayaran atau dipanggil sebagai ‘pemungkir’ (defaulter) selepas tamat tempoh 14 hari daripada penerimaan notis tunggakan.
Beliau berkata, ia termasuk menyahaktifkan peranti akses elektronik, menghendaki pemungkir menandatangani buku daftar pelawat serta menggantung penggunaan fasiliti bersama.
“Bagaimanapun, tindakan sekatan tersebut bukanlah satu lesen mutlak untuk menghalang sepenuhnya pemilik daripada memasuki unit hak miliknya sendiri.
“Pihak pengurusan wajib menyediakan kaedah akses alternatif yang selamat dan munasabah. Contohnya, jika kad akses lif dinyahaktifkan, pemilik masih boleh memasuki skim melalui kawalan keselamatan di pondok pengawal dengan mendaftar di buku log, serta dibenarkan menggunakan lif asas atau tangga perkhidmatan untuk ke unitnya,” katanya. – UTUSAN











