PETALING JAYA: Parti Bersama Malaysia (Bersama) bakal menubuhkan Kumpulan Kerja Hak dan Kebajikan Haiwan bagi merangka dasar penjagaan serta pengurusan haiwan komuniti dan hidupan liar yang progresif dan berperikemanusiaan.
Menurut Bersama, kumpulan kerja itu akan menjalankan penyelidikan dasar, perbincangan kumpulan fokus dan dialog meja bulat bersama pihak berkepentingan.
Katanya, langkah tersebut menyusuli pertemuan pemimpin parti berkenaan dengan ExecuteAWA (EAWA), sebuah gerakan nasional dipacu rakyat yang mendesak penguatkuasaan sewajarnya terhadap Akta Kebajikan Haiwan 2015.
“Kami menyeru agar undang-undang kebajikan haiwan diperkukuh, memperkenalkan dasar TNVRM di peringkat kebangsaan bagi haiwan komuniti, penguatkuasaan tegas terhadap kekejaman dan pengabaian haiwan dilaksanakan, serta amalan yang menyebabkan penderitaan dihentikan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Kenyataan tersebut dikeluarkan bagi pihak Bersama oleh Lee Chean Chung, Wong Chen, Punita Nook Naidu, Dr. Bryan Kek Kit Hun, Ethan Lim Zhi Hao dan Wong Ivan.
Menurut Bersama, parti itu akan menyokong inisiatif #ExecuteAWA dalam ruang politik dan awam, selain penguatkuasaan sepenuhnya serta kemungkinan pindaan terhadap Akta Kebajikan Haiwan 2015.
Katanya, parti itu juga akan memanfaatkan bukti dan kepakaran EAWA serta pertubuhan dan aktivis hak haiwan lain dalam perbincangan berkaitan dasar hak haiwan.
“Sejak pelancarannya pada Mei 2025, EAWA telah menghimpunkan penyelamat haiwan, doktor veterinar, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan orang awam bagi memperjuangkan satu tuntutan agar undang-undang sedia ada dikuatkuasakan dengan penuh integriti dan tanpa salah tafsir.
“Cadangan-cadangan yang dikemukakan adalah berasaskan penyelidikan dan data awam,” katanya.
Dalam pada itu, Bersama mendakwa beberapa kejadian membabitkan haiwan baru-baru ini menunjukkan kelemahan dalam aspek pencegahan, tindak balas awal dan penguatkuasaan.
Katanya, daripada 204 kes kekejaman dan kebajikan haiwan yang disiasat Jabatan Perkhidmatan Veterinar antara 2021 hingga 2026, sebanyak 148 kes ditutup tanpa tindakan lanjut.
“Para pemimpin Bersama berpegang pada prinsip bahawa hak haiwan merupakan lanjutan daripada hak asasi manusia, sebahagian daripada hak sejagat yang tidak boleh dinafikan, yang melindungi kesejahteraan semua kehidupan serta sistem bumi yang menyokong kelangsungan hidup,” katanya. – UTUSAN











