‘Mek Kelate’ belum teruja emas turun harga

‘Mek Kelate’ belum teruja emas turun harga

PELANGGAN melihat barang kemas yang dijual di sebuah kedai emas sekitar Kota Bharu, Kelantan. – UTUSAN/ROSLIZA MOHAMED
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA BHARU: Penurunan harga emas sejak seminggu lalu gagal ‘mencairkan’ hati golongan wanita di negeri ini.

Tinjauan Utusan Malaysia di beberapa kedai emas mendapati jumlah pelanggan yang datang membeli barang kemas masih rendah walaupun harga logam itu kini mencecah RM504 segram.

Peniaga emas, Wan Shahira Wan Azmi, 27, berkata, penurunan harga itu masih belum mendorong lebih ramai golongan wanita membeli barang kemas seperti yang dijangkakan.

Memuatkan artikel berkaitan…

Katanya, keadaan itu berkemungkinan kerana orang ramai memilih untuk menyimpan wang bagi menampung perbelanjaan lain yang lebih mendesak, termasuk persiapan sesi persekolahan yang akan dibuka pada awal Januari 2027.

“Saya akui trend pembelian barang kemas ketika ini kurang meriah berbanding ketika harga emas sekitar RM660 se gram selepas musim perayaan.

“Bagaimanapun, masih ada pelanggan yang datang membeli barang kemas mengikut keperluan masing-masing,” katanya.

Sementara itu, pembantu kedai emas, Siti Norhidayah Azlan, 25, berkata, jumlah pelanggan yang membeli barang kemas ketika ini tidak ramai manakala jualan berada pada tahap sederhana.

Katanya, stok barang kemas yang disimpan juga tidak terlalu banyak berikutan harga emas yang masih tidak stabil.

“Saya lihat pelanggan tidaklah ramai dan mungkin ada dalam kalangan mereka yang beranggapan harga emas akan turun lagi.

“Apabila harga tidak stabil, jumlah stok barang kemas perlu diambil kira bagi mengelakkan kerugian besar,” katanya.

Siti Norhidayah berkata, sesetengah pelanggan mungkin memilih menggunakan wang yang ada bagi memenuhi keperluan lain yang dianggap lebih penting, khususnya bagi mereka yang sudah berkeluarga. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini