JOHOR BAHRU: Malaysia dan Singapura telah melengkapkan kesiapsiagaan pengoperasian perkhidmatan Sistem Transit Rapid Link (RTS Link) termasuk melibatkan aspek keselamatan melibatkan pelbagai ancaman.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, projek RTS Link merupakan projek berskala mega yang akan memberikan impak besar kepada kedua-dua negara terlibat.
Sehubungan itu katanya, aspek kesiapsiagaan dan keselamatan pengunjung yang akan menggunakan perkhidmatan itu kelak kekal menjadi keutamaan.
“Latih amal ini merupakan latihan bersama antara Malaysia dan Singapura. Ia dibuat bagi memperkukuh kesiapsiagaan, keupayaan tindak balas serta keberkesanan penyelarasan dalam menghadapi krisis dan insiden kecemasan rentas sempadan.
“Inisiatif ini juga mencerminkan kerjasama erat antara Malaysia dan Singapura dalam memperkukuh hubungan dua hala,” katanya dalam sidang akhbar selepas Majlis Penutup Latih Amal Keselamatan RTS Link Malaysia-Singapura Latihan Lapangan Bersama Rentas Sempadan (FTX) 2026 di Depoh Wadi Hana, di sini hari ini.
Hadir sama, Menteri Kedua Ehwal Luar merangkap Ehwal Dalam Negeri Singapura, Sim Ann dan Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan, Infrastruktur dan Komunikasi negeri, Mohamad Fazli Mohamad Salleh.
Tambah Saifuddin Nasution, latihan berkenaan melibatkan empat situasi iaitu operasi pemadaman kebakaran, operasi perubatan, operasi pemindahan mangsa serta tindak balas kecemasan rentas sempadan.
“Latihan ini diselaras Majlis Keselamatan Negara (MKN) dengan kerjasama 28 kementerian dan agensi termasuk polis, bomba, Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan (AKPS), Kementerian Kesihatan (KKM) serta Kementerian Pengangkutan,” katanya.
Sementara itu, Sim Ann pula berkata, RTS Link akan menjadikan perjalanan pengembara antara kedua-dua negara lebih cepat dan selesa, sekali gus mengeratkan hubungan antara kerajaan dan rakyat kedua negara.
“Pengguna juga boleh menjangkakan bantuan kecemasan diberikan segera sekiranya berlaku apa-apa insiden di kedua-dua belah sempadan,” katanya.
RTS Link dijangka mula beroperasi pada Februari depan dengan kemampuan membawa sehingga 10,000 penumpang dalam tempoh satu jam bagi kedua-dua arah perjalanan.-UTUSAN











